
KUNAK: Seekor buaya dewasa berukuran 12 kaki panjang dan lebar dua kakiditembak mati di perairan Kg Pangi berhampiran Pantai Sarina, awal pagi Rabu.
Pegawai Daerah Kunak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Majaran Osman ketika dihubungi berkata operasi itu melibatkan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis.
Beliau mengulangi nasihat agar orang awam terutama yang tinggal di pesisir pantai dan mereka yang gemar melakukan aktiviti laut seperti memancing supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan bagi mengelak serangan reptilia itu.
Kawasan perairan Kunak tidak terlepas daripada kehadiran reptilia tersebut. Sebelum ini, orang awam pernah melihat kelibat buaya di beberapa lokasi sekitar laut di Kunak termasuk kawasan Kg Pangkalan, Kg Buang Sayang, Kg Kunak Jaya Laut, Kg Pangi dan perairan Madai, di sini.
Julai lepas, satu rakaman video tular berkenaan kelibat seekor buaya dewasa berada di dasar laut pinggir pantai berdekatan pusat rekreasi Darvel Lagoon, Kg Hampilan di perairan Pangi, di sini.
