
KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berpendapat Barisan Nasional (BN) perlu dibubarkan dan UMNO bergerak secara sendiri, memandangkan MCA seolah-olah sudah ‘tidak wujud’.
Menurutnya, MCA disifatkan sebagai ‘besar kepala’ dan mahu berlagak seperti ‘abang long’ apabila menggesa Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur.
“MCA sepatutnya yang perlu berundur, MCA ini macam sudah tiada, macam sudah tak wujud dah, saya di Bahagian Parlimen Sungai Besar, bila lihat perangai MCA, saya rasa BN perlu dibubarkan dan UMNO kena bersendirian.
“Tiada guna ada komponen BN, tapi seolah-olah mereka (MCA) yang jadi ‘Abang Long’, besar kepala, padahal bukan apa-apa pun.
“Bertanding hanya berani di kawasan majoriti Melayu, kalau berani bertandinglah di Bukit Bintang, Seputeh dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Menara Dato Onn di sini, malam ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon supaya Ahmad Zahid berundur daripada jawatan Pengerusi BN.
Terdahulu, Getaran melaporkan, Sin Woon menggesa Ahmad Zahid supaya berundur daripada kepimpinan parti atas tindakan membelakangi keputusan Dewan Tertinggi BN.
Ia susulan tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa membuat pendirian bertentangan secara ‘diam-diam’ untuk menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sebalik kenyataan beberapa pemimpin BN yang menegaskan parti itu mengambil pendirian ‘berkecuali’ setakat ini dalam isu pembentukan kerajaan Persekutuan.
Perkara itu terbongkar selepas tular surat menggunakan kepala surat BN ditandatangani beliau, mendakwa kononnya 30 Ahli Parlimen BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Sin Woon meminta jawatan itu digantikan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Jamal berkata, kenyataan dikeluarkan pemimpin MCA tersebut amat biadap, justeru Ahmad Zahid perlu membubarkan parti komponen BN itu.
“Saya mohon Pengerusi BN keluarkan surat untuk memecat beliau, tak guna lagi dah MCA berada dalam komponen BN dan BN perlu dibubarkan,” katanya. - Getaran, 23 November 2022
