

Lagi kes budak pandu kereta!
Kali ini, membabitkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang memandu sebuah kereta bersama rakan hingga terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban malam tadi.
Menurut akhbar tempatan, kereta terbabit itu turut dinaiki seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun yang dipercayai anak jiran.
Mujur, kemalangan itu tidak meragut nyawa.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama rakannya berusia sembilan tahun.
"Kereta itu dipercayai milik ibu bapa kanak-kanak berkenaan, manakala rakannya pula adalah anak kepada jiran,” katanya.
Tambah beliau, kereta terbabit kemudiannya dikatakan melanggar sebuah van jenis Toyota yang diparkir di kiri bahu jalan.
"Akibat rempuhan itu, van berkenaan menggelongsor ke hadapan dan merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya," katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001

