Budak 2 Tahun Hampir Diculik Lelaki Warga Asing Menyamar Sebagai ‘Tukang Cuci’

LocalPolitics
23 Oct 2024 • 2:03 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Kejadian culik atau orang hilang sejak akhir-akhir ini dilihat terlalu kerap berlaku. Malah perkara ini turut membuatkan ramai bimbang akan keselamatan setiap ahli keluarga mereka.

Ini kerana mangsa yang dilaporkan hilang tidak hanya dari kategori kanak-kanak sebaliknya turut membabitkan remaja, dewasa dan juga warga emas.

Lelaki warga asing hampir culik kanak-kanak usia 2 tahun

Terbaharu, polis telah bertindak menahan seorang lelaki warga asing selepas dia hampir menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun di kediamannya di Kampung Buaya Raya Kuang, Rawang pada 22 Oktober.

Suspek yang merupakan warga Nepal itu turut dikatakan menyamar menjadi tukang cuci sewaktu cuba menculik kanak-kanak berkenaan.

Cubaan menculik gagal selepas jiran terdengar jeritan meminta tolong

Jelas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Mohd Nor rancangan lelaki itu gagal selepas seorang jiran wanita warga tempatan berusia 47 tahun segera ke rumah terbabit selepas mendengar bunyi jeritan meminta tolong pada jam 12.40 tengah hari.

“Pengadu melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, dia telah mendengar jeritan jirannya meminta tolong yang seseorang mahu mengambil anaknya.

“Dia pergi ke rumah jirannya itu sebelum melihat suspek cuba melarikan diri. Dia bersama penduduk lain mengejar suspek sebelum berjaya menahannya berdekatan kawasan pembuangan sampah,” ujarnya, lapor Kosmo.

Suspek perkenalkan diri sebagai tukang cuci

Sewaktu insiden berlaku, kanak-kanak lelaki berkenaan berada di ruang tamu sebelum suspek memperkenalkan dirinya sebagai tukang cuci.

Kata beliau lagi, lelaki warga asing itu bagaimanapun berjaya ditangkap serta diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Pihak polis turut meminta orang ramai agar tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

Katanya sebarang maklumat berhubung insiden itu boleh hadir ke mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Azammudin Mohd Razib di talian 016 566 1597.

Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan warga asing tersebut ketika ditangkap orang awam.

Source: