
KUALA KRAI – Gara-gara menyangkakan cecair peluntur sebagai air berkarbonat, seorang kanak-kanak mengalami simptom keracunan apabila muntah selepas terminum bahan itu yang baru dibeli keluarga di rumahnya di Kampung Bukit Abu, Dabong, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, Muhamad Ariq Miqail Muhamad Shahfizan, 3, dihantar bapanya ke Klinik Kesihatan Dabong sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), di sini.
Ibunya, Siti Farinda Tarmizi, 25, berkata, ketika kejadian dia sedang menyusu bayinya di dalam bilik sebelum terdengar Muhamad Ariq yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik muntah di dalam tandas.
Katanya, dia kemudian bergegas keluar dan terhidu bau cecair peluntur pada mulut dan pakaian anaknya.
“Saya melihat penutup botol cecair peluntur yang baru sahaja dibeli dan berada di ruangan dapur sudah terbuka. Muhamad Ariq minum cecair itu selepas menyangka ia merupakan botol air minuman berkarbonat.
“Dia dikatakan tidak perasan bahawa botol itu berisi cecair peluntur sehingga terus membuka penutup dan meminumnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Siti Farinda memberitahu, anaknya yang ketika ini sedang menerima rawatan di HSIP berada dalam keadaan sudah stabil.
Katanya, imbasan sinar-X (X-ray) sudah dilakukan awal pagi semalam dan tiada kesan yang membahayakan pada organ dalaman Muhamad Ariq akibat daripada terminum cecair peluntur tersebut.
“Saya masih terkejut dengan kejadian itu kerana Muhamad Ariq sebelum ini tidak pernah menyentuh botol cecair peluntur yang memang diletakkan di dalam bilik air.
“Alhamdulillah, keadaan anak saya sudah stabil meskipun masih lagi dirawat dan dalam pemantauan doktor,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Budak 3 tahun masuk hospital, terminum peluntur appeared first on Kosmo Online.
