
KUALA LUMPUR - Seorang budak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran jalan besar Taman Pinggiran Pelangi, Rawang dekat sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.19 petang tadi.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di lokasi pada jam 6.23 petang untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkenaan yang terletak berhampiran kawasan perumahan di situ, sebelum dihanyutkan arus deras.
“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bermain di kawasan itu bersama seorang rakan dan adiknya selepas hujan reda,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Hafisham berkata, anggota bomba menjalankan pencarian dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan terjatuh hingga ke kawasan sungai berhampiran.
“Setakat ini kita masih belum temui kanak-kanak tersebut dan operasi SAR masih berjalan,” katanya. - Getaran, 19 Februari 2023
