
Budak 6 Tahun Pecah Rekod, Jadi Kanak-Kanak Termuda Singapura Berjaya Tawan Kem Pangkalan Everest
Usia bukan penghalang, seorang kanak-kanak berusia enam tahun warga Singapura meraikan pencapaiannya selepas berjaya mendaki Kem Pangkalan Everest pada ketinggian 5,364 kilometer (km), lapor CNA.
Om Madan Garg merupakan kanak-kanak Singapura yang termuda mendaki gunung yang sering diimpikan oleh sesetengah masyarakat.
Pada bulan Oktober, Om bersama kedua ibu bapanya memulakan perjalanan mendaki gunung hingga sampai ke kem pangkalan selatan di Nepal, selepas perjalanan sejauh 65 km dalam masa 10 hari.
Walaupun menghadapi banyak halangan semasa mendaki, seperti keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan ribut pada permulaan dan ketakutan faktor kesihatan, namun keluarga tersebut masih meneruskan pendakian.
Apabila ditanya mengenai perkara pertama yang dilakukan ketika sampai, Om berkata dia melakukan lemparan topi menandakan titik peluhnya membuahkan hasil selepas sampai di kem tersebut.
“Saya melemparkan topi ke langit dan kami sekeluarga memanjat ke atas batu Kem Pangkalan Gunung Everest untuk mengambil gambar dan turut mengibarkan bendera Singapura,” kata Om ketika ditemu bual CNA.

Selepas pulang ke tanah air pada akhir bulan Oktober, pelajar prasekolah itu dianugerahkan sijil daripada Singapore Book of Records di hadapan rakan-rakannya di Canossaville Preschool.

Bapa Om, Mayur Garg, 38, berkata suhu bukan satu-satunya perkara yang perlu dihadapi oleh keluarganya, perkara seperti ketinggian, cuaca dan laluan mendaki yang sukar juga turut memberi cabaran walaupun pemandu dan pembantu menemani mereka sepanjang perjalanan.
Mayur yang juga merupakan penganalisis perniagaan itu berkata halangan dihadapi keluarganya bermula sebelum pendakian dimana perjalanan mereka tertunda selama tiga hari bermula 25 September apabila penerbangan mereka dibatalkan kerana cuaca ribut.
Selepas menghabiskan sembilan jam menunggu, pada 27 September keajaiban berlaku dan sebuah helikopter tersedia untuk keluarga kecil itu.
“Rancangan saya adalah untuk mendaki hanya 5 km ke sebuah perkampungan secara perlahan-lahan tetapi kami kehilangan masa tiga hari yang berharga itu. Oleh itu, pada hari pertama kami melakukan perjalanan 12 km.
“Daripada berhenti di tempat biasa di mana ramai orang berhenti, kami pergi terlebih dahulu ke kampung sebelah. Sebabnya hari kami terhad, kami mempunyai penerbangan untuk pulang ke rumah,” ujar Mayur menerangkan hari kejadian.
Mayur memberikan cadangan kepada keluarganya untuk mendaki gunung itu selepas dia melawat tapak itu sendiri pada November tahun lalu.
Sumber: CNA
The post Budak 6 Tahun Pecah Rekod, Jadi Kanak-Kanak Termuda Singapura Berjaya Tawan Kem Pangkalan Everest appeared first on Siakap Keli.


