Budak lelaki maut, 11 cedera nahas tiga kenderaan

3 May 2025 • 9:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan KM 44.2 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Jumaat. Foto IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala 11 lagi cedera dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 44.2 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut sekitar jam 7.50 malam membabitkan kereta jenis Proton Saga, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Corolla Cross.

Menurutnya, siasatan mendapati kereta Proton Saga dipandu seorang wanita tempatan berusia 47 tahun bersama dua penumpang, iaitu ibunya berusia 87 tahun dan anak lelakinya berusia 10 tahun.

"Perodua Alza pula dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun bersama lima penumpang berusia antara tiga hingga 54 tahun, manakala Toyota Corolla Cross dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Saga, yang dalam perjalanan dari arah Rompin ke Kota Tinggi, hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza serta Toyota Corolla Cross,” katanya.

Yusof berkata, akibat pertembungan itu, penumpang belakang Proton Saga iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kesemua pemandu dan penumpang Perodua Alza serta Toyota Corolla Cross dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.