
KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang dikatakan mahu mengambil sebiji bola di tengah jalan maut akibat dirempuh sebuah lori di Kampung Surau Haji Daud, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 4.10 petang itu, mangsa yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, lori yang dipandu seorang lelaki berumur 44 tahun dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Tok Dir, di sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, pemandu lori tersebut gagal mengelak lalu merempuh mangsa.
“Kanak-kanak berusia lapan itu dikatakan mahu mengambil sebiji bola yang terdapat di jalan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, mayat murid tahun dua terbabit telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Budak mahu ambil bola maut dirempuh lori appeared first on Kosmo Online.






