Budak meninggal dunia disyaki dibaham buaya

23 Jun 2024 • 5:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa ditemui meninggal dunia oleh penduduk kampung sebelum dibawa naik ke darat.

SANDAKAN - [DIKEMAS KINI] Aktiviti riadah mandi sungai pada hujung minggu bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Kampung Lembaga Batu 8 Jalan Datuk Tay, di sini pada Ahad.

Mangsa, Mohd Radhi Randi, 9, ditemui oleh penduduk kampung pada jam 3.05 petang, kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan dibaham buaya ketika melakukan aktiviti mandi manda di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.16 tengah hari.

Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer dari BBP Sandakan.

"Menurut panggilan yang diterima, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dikatakan dibaham buaya semasa mandi di sungai.

"Pasukan bomba segera ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan kaedah pencarian di permukaan sungai.

"Selepas lebih dua jam kemudian, mayat mangsa akhirnya ditemukan oleh penduduk kampung sejauh 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Susulan penemuan mangsa tersebut, operasi ditamatkan pada jam 3.19 petang," katanya.

Sementara itu, Severinus ketika ditanya keadaan mayat yang ditemui memaklumkan terdapat kesan gigitan pada tubuh mangsa dipercayai akibat dibaham buaya.

"Badan mangsa sempurna cuma terdapat bekas gigitan buaya di bahagian rusuk dan lutut sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!