Budak Perempuan 5 Tahun Maut Jatuh Dari Tingkat 9

26 Aug 2022 • 7:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan Flat Sri Sabah, Cheras, pagi tadi. - Gambar dari Facebook Orang Wangsa Maju

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan Flat Sri Sabah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian dipercayai jam 9.30 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pada jam 11.54 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu terjatuh dari balkoni dapur dan ketika kejadian, ibu serta adik mangsa turut berada di rumah.

"Ibu mangsa tidak menyedari mangsa berada di dapur. Mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya hari ini.

Zam Halim berkata, kes sedang disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai dinasihatkan mengawasi anak-anak mereka dengan baik supaya tidak berlaku perkara tidak diingini.

“Kami juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut insiden ini untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165 881," katanya. – Getaran, 26 Ogos 2022