
Kota Kinabalu: Kakitangan kerajaan diseru supaya membudayakan inovasi sebagai agenda utama bagi memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan kepada pelanggan sentiasa cepat, cekap dan berkesan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ariffin Arif berkata, ia perlu supaya ia seiring dengan perubahan teknologi ketika ini seiring dengan perkembangan arus globalisasi ketika ini.
“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kita kekal kompetitif dan berdaya saing, pembudayaan inovasi perlu dititikberatkan dengan mengubah cara kerja supaya berorientasikan visi dan misi Jabatan.
“Pada masa sama, ia juga harus dijadikan amalan kerja pada setiap masa sepanjang tahun, bukan sekadar menjadi bahan pengisian bagi sesuatu program khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Konvensyen Horizan Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (MiKoHKIK) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) tahun 2023 di Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, di sini, Selasa.
Hadir sama Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Abidin Marjan.
Sebanyak 15 kumpulan daripada 28 penyertaan yang terdiri daripada warga sektor pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terpilih ke peringkat akhir dalam pertandingan inovasi dilaksanakan dalam MiKoHKIK.
Bercakap mengenai program itu, Ariffin yang juga Exco Pendidikan berharap warga JPN Sabah sentiasa melipat gandakan usaha mencipta pelbagai lagi cetusan idea berinovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan.
Katanya, Inovasi Sosial merangkumi kaedah penyelesaian baharu melibatkan idea, model dan perkhidmatan yang mampu memenuhi kepentingan sosial dengan lebih berkesan dan mengutamakan penglibatan rakyat.
“Inovasi Penyampaian Perkhidmatan pula merupakan terjemahan idea baharu yang kreatif dan inovatif untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan, sekaligus meningkat mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

