
BUDI Diesel Dikekalkan RM300, Disalur Mulai 8 April
Kerajaan mengekalkan bantuan BUDI Diesel pada kadar RM300 sebulan bagi April 2026 dan akan disalurkan mulai 8 April.
Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan berkata bantuan tambahan interim RM100 diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300.
Bantuan tersebut akan memanfaatkan kira-kira 340,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM102 juta.
"Dalam suasana pasaran tenaga global yang semakin tidak menentu, Kerajaan MADANI mengambil langkah tegas bagi melindungi rakyat dengan mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada kadar RM300 sebulan bagi April 2026," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan peka dan prihatin terhadap tekanan yang dihadapi oleh rakyat susulan kenaikan harga bahan api global.
Baca juga:"Langkah ini dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan pengguna diesel, khususnya individu serta sektor agri-komoditi supaya terus menerima sokongan serta melindungi mereka dari terdedah sepenuhnya kepada kenaikan harga bahan api global.
"Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan terus memanfaatkan rakyat," kata Kementerian Kewangan.
Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia mengambil langkah tambahan dengan segera bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi.
"Penguatkuasaan juga dipertingkat bagi membendung penyelewengan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasaran," katanya lagi.


