
KUALA LUMPUR - Jutaan rakyat Malaysia bakal menikmati peningkatan kuota bahan api bersubsidi bulanan mulai 1 September ini, selepas kerajaan mengembalikan had asas BUDI MADANI daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.
Bagaimanapun, tidak semua penerima akan menikmati jumlah kuota yang sama.
Berikut ialah pecahan kelayakan baharu serta penerima yang layak memperoleh kuota maksimum sehingga 400 liter sebulan.
BUDI95: 300 liter
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada Isnin, warganegara Malaysia dengan MyKad dan lesen memandu yang masih sah layak menerima sehingga 300 liter petrol RON95 bersubsidi sebulan.
Jumlah itu meningkat secara automatik daripada had 200 liter yang ditetapkan pada Ogos.
BUDI95 dan BUDI Diesel: 300 liter
Rakyat Malaysia yang memenuhi syarat BUDI95 serta memiliki kenderaan diesel persendirian berdaftar juga boleh menikmati manfaat di bawah BUDI Diesel.
Untuk layak, kenderaan berkenaan perlu memiliki cLesen Kenderaan Motor (cukai jalan) yang sah serta memenuhi syarat ditetapkan di bawah skim BUDI Diesel.
Mulai 1 September, kuota asas bulanan mereka dinaikkan kepada 300 liter, berbanding 200 liter pada Ogos.
Pemilik pikap dan kenderaan 4WD: Sehingga 400 liter
Pemilik yang layak bagi kenderaan pikap diesel persendirian dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) boleh menerima tambahan 100 liter sebulan.
Dengan tambahan itu, jumlah kelayakan bulanan mereka boleh meningkat daripada kuota asas 300 liter kepada 400 liter sebulan.
MOF memaklumkan, lebih 500,000 pemilik pikap dan kenderaan 4WD yang layak masih boleh memohon tambahan 100 liter sekiranya mereka belum berbuat demikian.
Permohonan boleh dibuat menerusi portal BUDI MADANI.
Bagi penerima yang telah diluluskan untuk tambahan kuota tersebut, mereka tidak perlu membuat permohonan baharu. Kuota mereka akan dinaikkan secara automatik kepada 400 liter mulai 1 September.
Berapa ramai rakyat Malaysia menerima manfaat ini?
MOF berkata kira-kira 16 juta pengguna ketika ini menikmati petrol RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter.
Dalam masa sama, lebih 700,000 pengguna layak menerima diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Mengapa kuota dinaikkan?
Menurut kementerian, keputusan mengembalikan kuota asas kepada 300 liter mengambil kira beberapa faktor, termasuk pengurusan bekalan bahan api yang semakin baik.
Keputusan berkenaan juga didorong pengukuhan dari aspek penguatkuasaan, prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh serta kemampuan kewangan kerajaan.
Kerajaan turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu melakukan perjalanan jauh bagi urusan harian, selain kebergantungan golongan peniaga kecil kepada kenderaan sebagai sumber pendapatan.
Bagaimanapun, peningkatan kuota ini tidak bermakna kerajaan meninggalkan pendekatan subsidi bersasar.
Kerajaan MADANI menegaskan, usaha untuk membendung ketirisan subsidi, penyeludupan dan penyalahgunaan akan terus diperkasa bagi memastikan manfaat bahan api bersubsidi sampai kepada rakyat yang benar-benar layak.
Apa yang berubah untuk pengguna kenderaan?
Bagi penerima BUDI MADANI yang layak, perubahan paling ketara mulai 1 September ialah kuota asas bahan api bulanan meningkat sebanyak 100 liter, daripada 200 liter kepada 300 liter.
Bagi pemilik pikap diesel dan kenderaan 4WD yang memenuhi syarat untuk menerima tambahan kuota, jumlah maksimum pula meningkat kepada 400 liter sebulan.
Peningkatan kuota akan diberikan secara automatik kepada penerima sedia ada yang layak.
Sementara itu, mereka yang belum memperoleh tambahan 100 liter bagi kenderaan pikap dan 4WD yang memenuhi syarat perlu membuat permohonan menerusi portal BUDI MADANI.
MOF memaklumkan perubahan kuota baharu itu berkuat kuasa mulai 1 September 2026. - Getaran, 31 Ogos 2026






