BUDI95: Hari pertama berjalan lancar, PDRM dan ATM mula nikmati subsidi petrol

LocalPolitics
27 Sep 2025 • 11:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BUDI95: Hari pertama berjalan lancar, PDRM dan ATM mula nikmati subsidi petrol

image is not available

27/09/2025 - 11:43

ASP Nurul Isma (kiri) bersama pegawai dan anggota PDRM selepas mengisi petrol di Kuala Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 27 Sept – Program subsidi petrol bersasar di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) mula dilaksanakan hari ini dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kumpulan pertama menikmati kemudahan tersebut.

Langkah ini menandakan fasa permulaan agenda kerajaan dalam menyalurkan subsidi bahan api secara lebih teratur dan tepat kepada golongan sasar, bermula dengan pasukan keselamatan negara.

Inspektor Hanek Mohd Hamzah Ismail berkata, secara peribadi, beliau sangat menyambut baik langkah ini kerana memberi memberi kemudahan segera kepada anggota yang sering berada di lapangan.

“Alhamdulillah, proses isian petrol di stesen minyak hari ini berjalan lancar. Tak ada sebarang masalah yang berlaku.

"Prosedurnya amat mudah tak mengambil masa yang lama kalau di stesen minyak yang besar.

"Terima kasih kepada kerajaan yang memilih kami sebagai anggota barisan depan negara untuk menikmati kemudahan ini pada hari pertama pelaksanaannya," katanya.

image is not available
Inspektor Hanek Mohd Hamzah

Inisiatif BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 akan mula menikmatinya pada 28 September, diikuti warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 September ini.

image is not available

Sementara itu, ASP Nurul Isma Khairudin berkata, pemilihan PDRM dan ATM memberi mesej jelas kerajaan sangat menghargai pengorbanan pasukan keselamatan dengan memastikan kebajikan mereka diutamakan.

Menurutnya, pelaksanaan awal ini juga menjadi ujian lapangan kepada sistem BUDI95 sebelum diperluaskan secara nasional kepada semua rakyat Malaysia pada 30 September nanti.

Melalui skim ini, anggota hanya perlu mengesahkan identiti di stesen minyak dan terus menikmati subsidi sekali gus menjadikan proses lebih cepat dan telus.

"Memang sangat mudah, tak leceh dan yang penting dapat isi petrol dengan harga yang lebih murah," katanya.

Selain meningkatkan kecekapan, BUDI95 juga dijangka mengurangkan risiko penyelewengan subsidi, sekali gus memberi penjimatan kepada negara untuk disalurkan semula kepada pembangunan rakyat.

Malah, pemilihan PDRM dan ATM sebagai kumpulan perintis dianggap simbolik kerana kedua-dua pasukan inilah yang menjadi benteng keselamatan negara.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter berkuat kuasa pada 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95. - DagangNews.com

standard