BUDI95: JPN Sedia Lanjut Waktu Operasi Jika Perlu – Saifuddin

LocalPolitics
23 Sep 2025 • 12:57 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia melanjutkan waktu operasi jika keadaan memerlukan, bagi memastikan urusan penggantian cip MyKad yang rosak secara percuma dapat berjalan lancar hari ini.

JPN sedia lanjut waktu operasi

Menurut laporan Astro Awani, tindakan itu susulan pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, langkah ini penting untuk menampung peningkatan permohonan penggantian MyKad, khususnya melibatkan kerosakan cip.

image is not available

Foto: FB JPN

“Jika pengumuman ini menyebabkan lebih ramai hadir, JPN akan tambah masa sehingga semua urusan selesai.

“Kita perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan dan akan bertindak segera bagi memastikan perkhidmatan berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas meninjau kaunter perkhidmatan di Ibu Pejabat JPN Putrajaya hari ini.

image is not available

Foto: FB JPN

Beliau memaklumkan, jumlah permohonan penggantian cip MyKad kini meningkat kepada sekitar 40,000 sebulan, berbanding hanya 30,000 sebelum ini.

Bagi membantu rakyat, kerajaan turut mengecualikan caj RM10 bagi penggantian cip rosak bermula sehingga 7 Oktober depan.

“Tempoh ini munasabah untuk orang ramai memastikan cip MyKad mereka berfungsi. Jika rosak, segera ke JPN. Sepanjang tempoh ini, penggantian tidak dikenakan bayaran,” jelasnya.

image is not available

Foto: FB JPN

Pada masa sama, Saifuddin menegaskan stok MyKad berada pada tahap mencukupi, dengan urusan di pejabat utama seperti Ibu Pejabat JPN Putrajaya, pejabat negeri dan UTC boleh diselesaikan dalam tempoh sehari sahaja.

Beliau menambah, sistem MyKad kini telah diintegrasikan dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi mengelakkan sebarang gangguan serta penyalahgunaan susulan laporan penggunaan MyKad hilang di bawah pelaksanaan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Apabila kehilangan MyKad dilaporkan, JPN akan segera nyahaktif kad tersebut dalam sistem. Integrasi dengan MOF kini memastikan kad yang dilaporkan hilang tidak boleh digunakan untuk menuntut subsidi. Ini langkah pembetulan segera hasil insiden sebelum ini,” katanya.

Sumber: Astro Awani (Shafiqa Azami)