Budi95 kembali ke 300 liter sebulan, e-invois tidak diperlukan bagi perniagaan jualan tahunan kurang RM3 juta

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 4:20 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

Budi95 kembali ke 300 liter sebulan, e-invois tidak diperlukan bagi perniagaan jualan tahunan kurang RM3 juta

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Budi95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan berkuat kuasa 1 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara tersebut sempena Ambang Merdeka.

Keputusan itu bermakna lebih 16 juta pengguna bakal menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

Manakala lebih 500,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak pula bakal menikmati Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan.

Anwar turut mengumumkan lima lagi ikhtiar segera untuk rakyat Malaysia yang akan dilaksanakan serentak bulan hadapan.

Melalui ikhtiar tersebut, peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah pada tahun 2027 ditingkatkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.

Peruntukan berkenaan melibatkan semua aliran merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.

“Saya turut mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana oleh sekolah.

“Langkah ini bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dimulakan seawal Januari 2027,” kata beliau.

Dalam pada itu, Program AI untuk Rakyat akan dibuka kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.

“Seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi kecerdasan buatan (AI) terkemuka secara percuma selama tiga bulan.

“Ia merangkumi IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun,” katanya.

Menurut Anwar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam.

Ia meliputi pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik dan ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

“Kerajaan juga bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-invois sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.

“Dengan keputusan ini, perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois,” jelas beliau.

Bagi memperkasakan usahawan kecil, kerajaan akan menambah kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion, sekali gus meningkatkan keseluruhan dana bagi tahun 2026 daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

Kerajaan turut memperkenalkan Geran Sejahtera Madani bernilai RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta golongan ibu yang berniaga dari rumah.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved