
KUALA LUMPUR - Semua rakyat Malaysia yang mahu menggunakan kemudahan subsidi petrol di bawah skim BUDI95 perlu memiliki kad pengenalan MyKad untuk pengesanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, orang ramai perlu memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masing-masing masih dalam tempoh sah sebelum peralihan kepada BUDI95.
Menurut beliau, ia bagi memastikan BUDI95 hanya dinikmati oleh warganegara dengan lesen memandu yang disahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Bagaimanapun, rakyat tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) atau Penghargaan SARA, kerana itu membuktikan cip MyKad mereka berfungsi dengan baik,” katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap pam minyak akan disediakan dengan alat pembaca MyKad bagi membolehkan pengguna membuat pengesahan sebelum mengisi petrol.
BUDI95 katanya lagi, akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.
“Pada 27 September iaitu Sabtu, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300 ribu anggota tentera dan polis manakala keesokan harinya iaitu 28 September, ia mula dibuka kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40.
“Pada 30 September iaitu pada Selasa, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif,” katanya.

Beliau menarik perhatian, kerajaan MADANI telah mengotakan komitmen untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia.
“Berbanding harga pam petrol RON95 semasa iaitu RM2.05 seliter, rakyat Malaysia dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September nanti,” katanya.
Anwar memberitahu, golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara perlu membeli RON95 menurut harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
“Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik. Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia.
“Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan SARA. Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas,” tambahnya.
Perdana Menteri berkata, BUDI95 membolehkan semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

Pemandu e-hailing pula katanya, diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
“Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan dan lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini.
“Kerajaan juga telah mengambil langkah untuk memudahcara proses penggunaan BUDI95, termasuk pilihqn digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo,” katanya.
Anwar berkata, maklumat lanjut berhubung BUDI95 akan dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) dari semasa ke semasa.
“Orang ramai disaran untuk merujuk saluran rasmi MOF bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. - Getaran, 22 September 2025

