BUDI95: Transaksi RM43.7 juta bagi pembelian 21.8 juta liter petrol RON95 direkodkan setakat 29 Sept

LocalPolitics
30 Sep 2025 • 6:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BUDI95: Transaksi RM43.7 juta bagi pembelian 21.8 juta liter petrol RON95 direkodkan setakat 29 Sept

image is not available

30/09/2025 - 18:11

Gambar BERNAMA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept – Pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) mencatatkan transaksi RM43.7 juta bagi pembelian 21.8 juta liter petrol setakat 29 Sept.

Hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) B40, termasuk anggota tentera dan polis, telah menggunakan BUDI95 di stesen-stesen petrol seluruh negara setakat pukul 7 malam tadi.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, program itu yang dilaksanakan menggunakan sistem pengesahan MyKad, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan teknikal.

“Pelaksanaan menyeluruh untuk semua rakyat Malaysia yang layak bermula pada 30 Sept, membolehkan setiap penerima menikmati subsidi petrol RON95,” katanya dalam taklimat harian.

Taklimat itu disiarkan secara langsung di akaun Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pejabat Perdana Menteri.

Inisiatif itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menunaikan janji untuk melindungi rakyat, memastikan mereka terus menikmati RON95 sambil meringankan beban kewangan.

Tambahnya, kerajaan juga bekerjasama dengan E-hailing Operators (EHO) untuk mengenal pasti pemandu e-hailing layak menerima kuota petrol tambahan.

“Proses permohonan kuota tambahan dijangka diselesaikan minggu ini dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Selain itu, kerajaan turut menimbangkan cadangan untuk membolehkan pengendali bot, terutamanya di Sabah dan Sarawak, menikmati harga subsidi petrol tersebut,” katanya.

Tunku Nashrul berkata, agensi berkaitan serta kerajaan negeri sedang mengumpul data pemilik bot bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir daripada manfaat BUDI95.

“Inisiatif ini bukan sekadar mengenai subsidi petrol sebaliknya ia membawa seribu makna untuk rakyat Malaysia.

“Ia merupakan tanda penghargaan kerajaan di bawah konsep Madani agar rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.

Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan Budi95 berterusan, mampan dan diperkukuh dari semasa ke semasa demi kesejahteraan rakyat. - DagangNews.com

featured standard