
Kota Kinabalu: Setiap kali Ramadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menjadi antara lokasi wajib singgah bagi rakyat Sabah untuk berbuka puasa.
Tahun ini, bufet Ramadan SICC kembali dengan lebih banyak pembaharuan, termasuk menu istimewa dan peningkatan fasiliti bagi memberikan pengalaman berbuka yang lebih selesa.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki, berkata tahun ini, bufet Ramadan SICC, yang mendapat pengiktirafan Asia Book of Records bagi kategori ‘Maximum Dishes Prepared of International Cuisine’ pada 2024, memperkenalkan 850 menu Asian Continental yang akan disajikan sepanjang Ramadan, dari 1 hingga 30 Mac.
Menurut Rosmawati, tahun ini SICC turut memperkenalkan makanan diraja dari negeri Pahang dan Perlis. Antara menu tambahan yang menjadi tarikan ialah putu piring, putu mayam, apam balik serta pelbagai pencuci mulut khas yang sesuai untuk berbuka puasa.
Turut ditampilkan ialah hidangan dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, India, Korea dan Indonesia.
“Kami mahu membawa lebih banyak hidangan autentik, termasuk makanan yang jarang dimasak di rumah.
“Bukan sahaja menu Melayu dengan resipi asli, tetapi juga hidangan istana untuk mereka yang ingin merasai pengalaman menjamu selera seperti di istana,” katanya.
Bagi memastikan keselesaan pengunjung, beliau berkata SICC turut menambah baik fasiliti termasuk ruang makan lebih eksklusif.
“Tahun ini, kami sediakan ruang privasi yang lebih selesa, bukan lagi menggunakan kain tabir tetapi dinding tetap, sesuai untuk mereka yang ingin berbuka dalam suasana lebih peribadi.
“Untuk majlis berbuka puasa berkumpulan, kami boleh memuatkan sehingga 500 orang dalam satu masa,” jelas Rosmawati.
Selain berbuka puasa, SICC turut menyediakan kemudahan solat tarawih dengan imam jemputan dari Masjid Negeri setiap malam. Ruang solat ekspres juga disediakan bagi mereka yang ingin menunaikan solat Maghrib dengan cepat sebelum menyambung aktiviti mereka.
“Kita mahu wujudkan suasana Ramadan yang lengkap di satu tempat, di mana keluarga dan rakan-rakan boleh menikmati hidangan enak sambil mengeratkan hubungan. Ini juga tempat terbaik untuk berjumpa dan berinteraksi,” katanya.
Rosmawati berkata, dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan, SICC akan menyumbangkan lebihan makanan yang tidak disentuh kepada mereka yang memerlukan.
“Selepas waktu berbuka, lebihan makanan yang masih elok akan disedekahkan kepada anak yatim dan golongan memerlukan. Kemudian, dari jam 11 malam hingga 3 pagi, sahur turut disediakan di Merati Café dengan harga separuh daripada bufet utama,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bufet Ramadan SICC dibuka lebih awal sehari sebelum Ramadan untuk mengambil peluang daripada forum antarabangsa, Business Event (BE) in Sabah, yang diadakan di SICC dari 27 - 28 Februari.
Beliau berharap pengunjung, termasuk peserta antarabangsa dari forum BE in Sabah, dapat menyebarkan berita mengenai tawaran bufet Ramadan SICC kepada lebih ramai orang.
“Kita mahu mereka tahu bahawa di Pulau Borneo, ada satu tempat yang menyediakan 850 hidangan dari pelbagai negara. Ini bukan sekadar tempat makan, tetapi tempat untuk membina jaringan dan menyantuni masyarakat,” tambahnya.
Bufet Ramadan SICC dibuka dari jam 5 petang hingga 9.30 malam, dengan kira-kira 1,200 kerusi disediakan pada satu-satu masa di Tingkat 2, Kinabatangan Hall I - II.
Harga promosi RM110 seorang ditawarkan kepada mereka yang datang secara berkumpulan (10 orang ke atas) dan membuat tempahan sehingga 10 Ramadan.


