
Bagi kebanyakan ibu bapa, zaman kanak-kanak mereka diwarnai dengan animasi seperti Bob the Builder, Higglytown Heroes dan Dora the Explorer yang mengajar tentang dunia pekerjaan, pengembaraan serta cara menyelesaikan masalah dengan menyeronokkan.
Kini, nostalgia itu dibawakan semula buat generasi baharu menerusi Build-It Blocks, siri animasi tempatan yang menggabungkan elemen kartun dengan penerapan nilai Islam secara semula jadi.
Siri animasi tersebut diperkenalkan dalam Tayangan Eksklusif Build-It Blocks di Durioo Experience Centre, Cyberjaya baru-baru ini menghimpunkan pempengaruh serta ibu bapa bagi menyaksikan episod pertamanya sebelum tayangan rasmi pada 8 Ogos ini.
Disifatkan sebagai siri animasi pertama seumpamanya di Malaysia, Build-It Blocks menjadikan hadis sahih sebagai asas penceritaan dalam setiap episod, sambil memperkenalkan kanak-kanak kepada pelbagai kerjaya yang wujud di sekeliling mereka.
Setiap episod bukan sahaja memperkenalkan kerjaya yang berbeza, malah menyampaikan pengajaran daripada hadis menerusi jalan cerita, tindakan watak dan cara mereka menyelesaikan sesuatu masalah.
Nilai-nilai Islam pula diterapkan secara semula jadi agar kanak-kanak dapat mempelajarinya sambil mengikuti pengembaraan yang menyeronokkan.

Build-It Blocks dihasilkan sepenuhnya oleh bakat tempatan daripada pasukan yang sama di sebalik kejayaan Omar & Hana, animasi Islamik bertaraf antarabangsa yang telah meraih lebih 12 billion tontonan di YouTube.
Siri tersebut mengisahkan tiga watak utama iaitu Amir yang merupakan seorang arkitek, Bena seorang jurubina dan Camil seorang jurutera pembinaan.
Bersama-sama, mereka membantu individu daripada pelbagai bidang kerjaya menyelesaikan cabaran harian menerusi idea kreatif, pembinaan dan semangat bekerjasama.
Siri ini dihasilkan khusus untuk kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, Build-It Blocks menampilkan gaya penceritaan yang mengimbau kartun-kartun nostalgia yang pernah membesar bersama generasi ibu bapa.
Namun, ia dipersembahkan menerusi animasi tiga dimensi (3D) yang lebih moden, ceria dan sesuai dengan cita rasa kanak-kanak masa kini.
Keistimewaan siri tersebut turut terserlah menerusi pemilihan kerjaya yang diketengahkan.
Selain kerjaya popular seperti anggota bomba, doktor haiwan dan penyanyi, siri itu turut memperkenalkan pekerjaan seperti penghantar bungkusan, pekerja kitar semula dan tukang cuci.
Melalui Build-It Blocks, kanak-kanak dididik untuk mengenali, menghormati dan menghargai sumbangan mereka sebagai antara wira yang tidak mendapat perhatian masyarakat.
Pengarahnya, Heidi Arjuna berkata, idea menghasilkan siri tersebut tercetus daripada pengalaman dia sendiri membesar dengan pelbagai jenis animasi, selain latar belakang keluarganya dalam bidang pembinaan.

“Saya membesar dengan pelbagai animasi dan pada masa yang sama, saya juga datang daripada keluarga jurubina. Dahulu, kebanyakan kanak-kanak bercita-cita mahu menjadi doktor atau saintis. Sebenarnya, ada begitu banyak kerjaya lain di sekeliling mereka yang menarik dan penting untuk dikenali,” katanya.
Menurut Heidi, Build-It Blocks bukan sekadar mahu membuka minda kanak-kanak terhadap kepelbagaian pilihan kerjaya, malah membantu mereka mengenali keindahan Islam melalui penceritaan yang dekat dengan kehidupan seharian.
“Kami tidak mahu nilai Islam terasa seperti ceramah. Ia diterapkan secara natural melalui adab, kerjasama, cara watak membantu orang lain dan hadis yang menjadi asas setiap episod.
“Kami mahu anak-anak rasa bahawa Islam itu indah, dekat dan menyeronokkan untuk dipelajari,” katanya.
Ujarnya, siri tersebut akan diterbitkan dalam Bahasa Inggeris sebelum dialih bahasa ke Bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan penonton antarabangsa Durioo.
Musim pertama disasarkan mempunyai 10 episod dengan setiap episod mengetengahkan satu kerjaya yang berbeza dan akan ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Durioo bermula 8 Ogos ini.
Bersempena pelancarannya, Durioo turut memperkenalkan Harga Istimewa Merdeka Durioo+, iaitu RM13 sebulan atau RM118 setahun, bersamaan hanya RM9.83 sebulan.
Langganan itu membolehkan keluarga menikmati Build-It Blocks bersama ribuan kandungan kanak-kanak yang selamat dan bebas iklan.
The post Build-It Blocks satukan nilai Islam untuk kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.
