‘Bukan cara terbaik Ronaldo noktahkan karier’ - Amorim

WorldFootball
6 Nov 2026 • 10:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Bukan cara terbaik Ronaldo noktahkan karier’ - Amorim
RONALDO

PENGURUS AC Milan, Ruben Amorim mengakui cara Cristiano Ronaldo mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa bukanlah jalan penamat yang ideal buat seorang legenda terulung bola sepak Portugal.

Amorim yang pernah beraksi bersama Ronaldo berkata, perpisahan bintang Al-Nassr itu dari skuad Portugal sedikit tercalar susulan kemelut dalaman yang berlaku sebelum pengumuman bersejarah itu dibuat.

Keputusan menggantung but itu menamatkan perjalanan gemilang selama 23 tahun Ronaldo di pentas antarabangsa, sekali gus meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah bola sepak dunia.

Bagaimanapun, detik perpisahan tersebut dibayangi ketegangan hubungan antara penyerang itu dengan ketua jurulatih kebangsaan, Jorge Jesus.

Ronaldo sebelum ini dilaporkan meninggalkan kem latihan sebelum perlawanan menentang Denmark, yang kemudiannya membawa kepada penggantungan selama 30 hari oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) sejurus sebelum beliau mengumumkan persaraannya.

Amorim meluahkan rasa hormat bercampur kesal dengan situasi yang menimpa bekas rakan sepasukannya itu.

"Ini bukan cara terbaik untuk menamatkan kariernya bersama pasukan kebangsaan, namun apa yang telah beliau sumbangkan kepada negara adalah amat jelas kepada semua orang.

"Seluruh dunia mengenali beliau. Bola sepak adalah jendela dan ramai orang mengenali Portugal menerusi Ronaldo.

"Beliau telah beraksi bersama ramai pemain hebat dan saya yakin walaupun sudah bersara, beliau akan terus memberi sumbangan bermakna kepada negara di luar padang," kata Amorim.

Ronaldo menamatkan karier antarabangsanya dengan rekod luar biasa iaitu 146 gol dalam 234 penampilan, selain memimpin Portugal menjulang trofi Euro 2016 serta dua gelaran Liga Negara-Negara UEFA.

Susulan persaraan itu, FPF menyatakan hasrat untuk menganjurkan satu majlis penghormatan khas bagi memastikan ikon bola sepak moden Portugal itu diraikan sewajarnya tanpa dibayangi insiden pahit sebelum ini.

Selain kehilangan di atas padang, persaraan Ronaldo turut memberi impak besar dari sudut komersial kepada jenama Portugal.

Pakar pemasaran sukan, Daniel Sa menyifatkan penyerang itu sebagai aset individu terbesar yang pernah dimiliki pasukan kebangsaan.

Kajian IPAM pada 2025 turut meletakkan nilai jenama 'CR7' mencecah €850 juta peningkatan 325 peratus berbanding 2020 sekali gus mencerminkan pengaruh globalnya yang tiada tandingan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved