Mesyuarat mingguan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kelantan kali ini berlangsung dalam suasana berbeza apabila diadakan di dalam gerabak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), hari ini.
Mesyuarat dalam suasana berbeza
Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud itu berlangsung ketika perjalanan pra-operasi ECRL dari Kota Bharu, Kelantan menuju Gombak, Selangor.
Pengalaman cukup istimewa
Menerusi perkongsian di Facebook, Mohd Nassuruddin menyifatkan pengalaman berkenaan cukup istimewa kerana beliau bersama barisan EXCO berpeluang meneruskan urusan pentadbiran negeri sambil merasai sendiri perjalanan menggunakan pengangkutan rel tersebut.
Menurutnya, meskipun mesyuarat berlangsung di luar kebiasaan, segala urusan berkaitan pembangunan negeri dan kepentingan rakyat tetap diberikan perhatian.
“Satu pengalaman berbeza yang memberi ruang kepada saya bersama barisan EXCO untuk meneruskan urusan pentadbiran negeri dalam suasana baru, tanpa mengenepikan perkara-perkara penting berkaitan pembangunan negeri dan kepentingan rakyat.
“Peluang ini juga membolehkan kami melihat sendiri kemajuan projek ECRL yang bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi, jaringan pengangkutan dan hubungan antara negeri.
“Insya-Allah, kemudahan ini akan membuka lebih banyak peluang serta membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri Kelantan,” katanya.

Difahamkan, perjalanan berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Sumber: Facebook Mohd Nassuruddin Daud





