Bukan joli, banyak faktor kikis wang KWSP

LocalPersonal Finance
25 Jul 2026 • 12:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bukan joli, banyak faktor kikis wang KWSP

PETALING JAYA – Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang habis dalam tempoh singkat selepas persaraan tidak seharusnya dilihat berpunca semata-mata daripada kegagalan individu mengurus kewangan, sebaliknya ia dipengaruhi pelbagai faktor luaran yang semakin mencabar.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohamad Fazli­ Sabri berkata, ia perlu dilihat secara meluas melibatkan faktor luaran dan dalaman, sekali gus tidak menyalahkan ­pencarum atau bakal pencarum yang berdepan masalah itu.

“Pertama, ramai yang bila masuk usia persaraan, simpanan tidak cukup. Tidak cukup tu sebab apa? Mungkin dia be­kerja dalam sektor atau pekerjaan yang menawarkan pendapatan agak rendah atau sederhana. Jadi caruman dia kecil, tak banyak, memanglah itu tak cukup.

“Ada orang yang kadang-kadang dia beralih daripada satu sektor ke sektor lain. Dulu KWSP kepada pencen atau kemudian kepada KWSP kembali. Makna­nya tempoh bekerja tak konsis­ten. Sesetengah itu pula bekerja dalam sektor tidak formal,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, faktor luaran kedua ialah peningkatan kos sara hidup dan inflasi menyebab kebolehan dan kemampuan untuk menyimpan semakin berkurang terutama untuk persaraan.

Image from: Bukan joli, banyak faktor kikis wang KWSP
Mohamad Fazli

“Sebab kita gunakan wang ­lebih untuk makanan, rumah, utiliti dan pengangkutan. Kalau tengok pada Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, untuk perumahan dan pengangkutan sahaja sudah hampir 50 peratus.

“Dari segi menjaga kesihatan juga, makin lama makin besar dan makin mahal terutama selepas bersara. Mana-mana yang ambil insurans dan takaful, bayaran premium itu semakin lama semakin ditingkatkan.

“Jadi bila bersara, maknanya perlu menanggung jangka ha­yat yang meningkat, penyakit dah macam-macam termasuk ­penyakit kronik,” katanya.

Jelasnya, ada dalam kalangan pesara turut menggunakan wang simpanan persaraan mereka untuk melangsaikan hutang, perkahwinan anak-anak, membeli rumah dan sebagainya, sekali gus baki simpanan semakin terhad.

Beliau yang juga pakar ­kewangan pengguna berkata, dari segi faktor dalaman pula, memang wujud dalam kala­ngan pencarum yang kurang ilmu pengetahuan tentang simpanan persaraan.

“Kadang-kadang dia kata, ‘kenapa nak simpan? Umur masih lagi muda’. Sepatutnya masa kita mula bekerja, kita dah kena mula perancangan. Disebabkan kelemahan perancangan kewangan, tak ada pengetahuan dan ilmu, (bila) tak ada bajet, dia bawa keluar (KWSP) secara sekali gus tanpa strategi.

“Tak tahu nak urus, ditambah juga faktor-faktor lain pengaruh media sosial ­akhirnya terperangkap (skim pelaburan cepat kaya). Sepatutnya kita simpan untuk persaraan,” katanya.

The post Bukan joli, banyak faktor kikis wang KWSP appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved