johardy25/09/2026 - 08:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com PENYENARAIAN Orkim Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Disember 2025 membawa satu cerita yang lebih besar daripada kejayaan sebuah syarikat pengangkutan marin.
Orkim dibangunkan oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sebelum baton pemilikannya diserahkan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham institusi jangka panjang.
Orkim memperoleh RM92 juta daripada penerbitan saham baharu, manakala Ekuinas dijangka menerima RM828 juta hasil gabungan tawaran jualan IPO dan pemindahan saham kepada PNB. Sebahagian daripada wang itu dikitar semula untuk membina syarikat Bumiputera lain.
Di sinilah Orkim menjadi penting. Bukan kerana ia syarikat Bumiputera pertama disenaraikan di Bursa, tetapi kerana perjalanannya memberikan gambaran bagaimana sebuah syarikat boleh dibawa daripada modal pertumbuhan kepada pemilikan institusi dan seterusnya pasaran modal.

GEAR-uP mahu perjalanan itu berlaku kepada lebih banyak syarikat Bumiputera.
Daripada kontrak kepada pemilikan sebenar
Selama berpuluh-puluh tahun, pembangunan syarikat Bumiputera banyak digerakkan melalui perolehan kerajaan, program vendor, pembiayaan mudah dan pelbagai bentuk bantuan.
Banyak syarikat mendapat manfaat. Mereka membeli mesin, mengambil pekerja dan mengembangkan operasi. Tetapi tidak semuanya mampu bergerak melepasi kedudukan sebagai vendor.
Ada yang kekal bergantung kepada satu pelanggan besar. Ada yang berkembang apabila kontrak diperoleh tetapi kembali mengecil selepas projek tamat. Tidak ramai yang berjaya menjadi syarikat besar dengan pasaran luas, pengurusan profesional dan sumber modal sendiri.
GEAR-uP mahu mengubah keadaan itu. Matlamatnya bukan sekadar menambah jumlah kontraktor Bumiputera, tetapi membawa syarikat yang berpotensi melalui satu saluran pertumbuhan yang lengkap.
Syarikat mendapat peluang perolehan dan latihan pada peringkat awal, modal pertumbuhan apabila mahu berkembang, bimbingan untuk memperkukuh tadbir urus dan akhirnya akses kepada pasaran modal.
Mudah kata, jangan biarkan syarikat menjadi vendor sampai pencen.
Bursa bukan untuk syarikat tertentu sahaja
Hakikatnya, penyertaan syarikat Bumiputera dalam gelombang penyenaraian baharu masih rendah.
PNB mendedahkan bahawa daripada 220 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia antara 2020 hingga 12 November 2025, hanya lima merupakan syarikat milik Bumiputera.
Ini bukan bermakna syarikat Bumiputera tidak mampu memasuki Bursa. Dayang Enterprise Holdings Berhad dan Uzma Berhad sudah disenaraikan sejak 2008, manakala Gagasan Nadi Cergas Berhad memasuki Pasaran ACE pada 2019.
Elsa Berhad pula disenaraikan di Pasaran ACE pada Jun 2026 sebagai syarikat pertama daripada 20 syarikat Bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi yang dikenal pasti TERAJU. United Asiapac Energy Berhad menyusul pada September sebagai syarikat Bumiputera Sarawak yang berjaya memasuki pasaran modal.
Semua ini membuktikan kemampuan tersebut memang ada. Yang belum ada pada skala mencukupi ialah satu saluran tersusun untuk mengenal pasti, membina dan membawa lebih banyak syarikat ke tahap berkenaan.

Duit besar mesti melahirkan syarikat besar
GEAR-uP dilancarkan pada Ogos 2024 dengan sasaran menggerakkan RM120 bilion pelaburan domestik dalam tempoh lima tahun melalui enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan atau GLIC utama.
Pada 2025, sebanyak RM20.3 bilion diperuntukkan dan dilaburkan, hampir tiga kali ganda berbanding RM6.6 bilion pada 2024.
Angka besar memang sedap dibaca. Tetapi kejayaan GEAR-uP tidak boleh diukur berdasarkan jumlah wang yang diumumkan sahaja.
Duit besar mesti menghasilkan syarikat yang lebih besar, pekerjaan lebih baik, pengurusan lebih profesional dan perniagaan yang mampu menembusi pasaran di luar rangkaian kerajaan.
Kalau berbilion ringgit disalurkan tetapi penerimanya masih menunggu kontrak GLC yang sama setiap tahun, kita belum membina juara. Kita cuma membesarkan vendor.
Sepuluh IPO atau sepuluh juara?
Program 10 Juara Bumiputera yang diterajui PNB mahu membantu syarikat berpotensi tinggi mencapai nilai antara RM300 juta hingga RM500 juta setiap satu, dengan nilai perusahaan keseluruhan RM3 bilion hingga RM5 bilion menjelang 2030.
Empat lagi penyenaraian Bumiputera sedang berada dalam perancangan dan sasaran lebih besar ialah membawa 10 syarikat ke Bursa.
Sasaran ini penting kerana penyenaraian membuka peluang kepada syarikat mendapatkan modal baharu, mengukuhkan kedudukan kewangan dan melaksanakan rancangan pengembangan yang lebih besar.
Ia juga mengubah kedudukan usahawan Bumiputera daripada penerima kontrak kepada pemilik aset dan ekuiti yang nilainya boleh berkembang.
Tetapi jangan pula terlalu ghairah mengejar jumlah IPO. Membawa 10 syarikat ke Bursa boleh dikira dengan mudah. Membina 10 syarikat yang masih berkembang lima atau 10 tahun selepas disenaraikan jauh lebih sukar.

Selepas disenaraikan, jangan ditinggalkan
GEAR-uP menyebut pendekatan ini sebagai “perlumbaan berganti-ganti Bumiputera”.
Sebuah institusi mengenal pasti syarikat, sebuah lagi menyediakan modal, yang lain membuka pasaran dan akhirnya pelabur awam turut menyertai pertumbuhannya.
Tetapi perlumbaan tidak tamat apabila syarikat disenaraikan. Bursa bukan pentas graduasi untuk syarikat mengambil gambar sebelum semua orang pulang.
Syarikat tersenarai perlu menambah hasil dan keuntungan, mencipta pekerjaan bergaji tinggi, memperluas eksport, mendapatkan pelanggan baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada kontrak kerajaan atau GLC.
Sebab itu laporan kemajuan GEAR-uP secara tahunan sangat penting. Rakyat perlu mengetahui bukan sahaja jumlah wang yang dilaburkan dan jumlah syarikat dibawa ke Bursa, tetapi apa yang berlaku kepada syarikat tersebut selepas menerima bantuan.
Kalau berjaya, tunjukkan hasilnya. Kalau gagal, jelaskan sebabnya. Akauntabiliti tidak boleh hanya muncul ketika ada loceng Bursa hendak dibunyikan.
Orkim sudah menunjukkan bahawa model perlumbaan berganti-ganti itu boleh dilakukan. Tugas GEAR-uP sekarang ialah menjadikannya satu saluran yang berterusan, bukan kejayaan yang muncul sekali-sekala.
Agenda Bumiputera tidak boleh selama-lamanya diukur melalui jumlah kontrak yang diagihkan. Ukurannya mesti berubah kepada jumlah syarikat yang mampu berdiri sendiri, mengumpul modal, bersaing dan terus berkembang.
Bukan sekadar lebih ramai vendor Bumiputera. Kita mahu lebih banyak syarikat Bumiputera memiliki tempat yang kukuh di Bursa Malaysia. — DagangNews.com






