Bukan lima tapi sembilan sekolah terima bungkusan ‘misteri’, isinya..

16 Oct 2026 • 9:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bukan lima tapi sembilan sekolah terima bungkusan ‘misteri’, isinya..

SEREMBAN – Sembilan bungkusan mencurigakan yang ditemukan di sembilan buah sekolah di Negeri Sembilan disahkan tidak mengandungi bahan letupan atau bahan berbahaya, sebaliknya hanya mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima sembilan laporan polis berhubung penemuan bungkusan berkenaan, masing-masing lima kes di daerah Nilai dan empat kes di Tampin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan mempunyai persamaan dari segi bentuk bungkusan dan kandungannya.

Menurutnya, bungkusan itu dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis selepas penerima yang tertera pada bungkusan berkenaan tidak hadir untuk mengambilnya.

“Susulan laporan diterima, polis mengambil langkah keselamatan sewajarnya dengan mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan keselamatan terhadap bungkusan terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan. Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan itu, selain menentukan motif sebenar kejadian.-KOSMO! ONLINE

The post Bukan lima tapi sembilan sekolah terima bungkusan ‘misteri’, isinya.. appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved