Bukan Milik Arif Aiman, Salem Al-Dawsari Rangkul Pemain Terbaik Asia 2025

LocalFootball
17 Oct 2025 • 12:07 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Harapan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi, untuk dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia 2024 tidak kesampaian apabila anugerah berprestij itu dimenangi pemain Arab Saudi, Salem Al-Dawsari.

Arif Aiman tersenarai dalam ‘top 3’

Menurut laporan Harian Metro, Majlis Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke-29 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan King Fahad, Riyadh malam tadi turut menyaksikan pemain Jepun, Hana Takahashi, menerima gelaran Pemain Wanita Terbaik Asia.

image is not available

Arif Aiman tersenarai dalam tiga calon akhir bersama bintang Qatar, Akram Afif, dan Al-Dawsari, hasil prestasi cemerlangnya bersama JDT sepanjang musim 2024.

Namun, kehebatan Al-Dawsari bersama Al Hilal membawa tuah buatnya apabila dia tampil sebagai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Elit AFC, membantu kelab itu mara ke separuh akhir, selain menyerlah di pentas Piala Dunia Kelab FIFA sehingga ke peringkat suku akhir.

Kejayaan itu menandakan kemenangan kedua buat Al-Dawsari selepas kali pertama memenanginya pada tahun 2022, menjadikannya pemain Arab Saudi pertama yang berjaya meraih anugerah tersebut dua kali, dan hanya pemain keempat dalam sejarah yang mencapai rekod berkenaan selepas Hidetoshi Nakata (Jepun), Akram Afif (Qatar) dan Server Djeparov (Uzbekistan).

“Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menyokong saya. Ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada cita-cita yang lebih besar. Saya akan terus berusaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” ujar Al-Dawsari.

image is not available

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut membawa berita gembira apabila diiktiraf antara tiga terbaik Asia dalam kategori pembangunan akar umbi, menunjukkan komitmen badan induk itu dalam melahirkan generasi pelapis bola sepak negara.

Sementara itu, pemain pertahanan Jepun, Hana Takahashi, 25, turut mencuri tumpuan apabila membantu Urawa Red Diamonds Ladies menjuarai piala domestik, menamatkan saingan liga di tempat ketiga serta mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Wanita AFC.

Menariknya, Takahashi juga sering digunakan di posisi serangan dan berjaya mencipta impak besar dengan 12 jaringan dalam semua kejohanan, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain wanita terbaik Asia ketika ini.