Dalam dunia akademik, perjalanan seorang pelajar doktor falsafah (PhD) sering disalah tafsir sebagai laluan untuk individu yang paling bijak. Namun realitinya, kegagalan dalam pengajian ini jarang berpunca daripada tahap kecerdasan semata-mata.
Siapa pelajar PhD? Mereka adalah individu yang memilih untuk berada dalam ruang pembelajaran paling sunyi tanpa jadual tetap, tanpa struktur kelas yang jelas, dan tanpa jaminan kejayaan dalam tempoh tertentu.
Apa yang jarang diperkatakan ialah hakikat bahawa perjalanan ini lebih banyak menguji ketahanan emosi berbanding keupayaan intelektual. Betul ke?
Sedar tak..punca sebenar kegagalan ramai pelajar bukan kerana kurang bijak, tetapi kerana salah faham terhadap proses pembelajaran itu sendiri terutamanya dalam membina hubungan dengan penyelia. Kalau dalam bahasa pasarnya “bodoh sombong”. Pedih kan? Tapi itulah hakikatnya.
Ramai pelajar melihat PhD sebagai medan untuk membuktikan kepintaran. Tetapi hakikatnya, ia adalah proses untuk belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman.
Mengapa hubungan dengan penyelia menjadi faktor kritikal?
Dalam banyak kes, pelajar sering merungut bahawa penyelia tidak membantu, sukar dihubungi atau tidak memberikan panduan yang mencukupi. Namun, dalam masa yang sama, terdapat juga pelajar yang berjaya menamatkan pengajian di bawah penyelia yang sama. Jadi.. di mana silapnya?
Perbezaannya terletak pada bagaimana pelajar itu sendiri melihat dan mengurus hubungan tersebut. Supervisor bukan sekadar individu yang menyemak tesis. Mereka adalah mentor yang telah melalui perjalanan yang sama dan memahami cabaran yang bakal kita hadapi. Setiap penyelia memiliki ilmu, kepakaran dan pengalaman yang tidak boleh digantikan. Justeru, sikap hormat terhadap bimbingan yang diberikan menjadi asas kepada hubungan akademik yang sihat. Kalau berjaya wujudnya hubungan rapat seperti sahabat atau adik beradik, sejujurnya kita tidak akan sekali-kali terdetik untuk bercakap buruk atau merungut tentang keperibadian penyelia kita.
Namun begitu, dalam era moden, terdapat kecenderungan untuk melihat hubungan ini secara transaksional seolah-olah penyelia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejayaan pelajar. Pendekatan ini bukan sahaja tidak realistik, malah boleh membawa kepada kekecewaan.
Perlu diingatkan bahawa PhD bukan servis. Kita bukan pelanggan. Kita adalah calon yang datang untuk belajar dan dibimbing.
Dari sudut psikologi pembelajaran, hubungan yang dibina atas dasar hormat dan kepercayaan akan membuka ruang komunikasi yang lebih efektif. Pelajar lebih mudah menerima teguran, manakala penyelia lebih cenderung untuk melaburkan masa kepada pelajar yang menunjukkan komitmen.
Bila cabaran ini paling dirasai?
Ia berlaku dalam fasa yang paling sunyi apabila pelajar perlu berdikari, berfikir dan menulis tanpa sokongan struktur harian seperti dalam pengajian lain.
Di sinilah ramai mula hilang arah.
Namun bagi mereka yang berjaya, fasa ini bukan dilihat sebagai beban, tetapi sebagai ruang untuk membina disiplin diri dan memperkukuh hubungan dengan penyelia.

Bagaimana untuk bertahan dalam perjalanan ini?
Jawapannya bukan terletak pada kecerdasan semata-mata, tetapi pada sikap kerendahan hati untuk belajar, kesediaan menerima teguran, dan keupayaan menghargai pengalaman orang lain.
Akhirnya, persoalan sebenar bukanlah sama ada seseorang itu cukup bijak untuk menamatkan PhD, tetapi sama ada mereka cukup matang untuk memahami peranan bimbingan dalam perjalanan tersebut. Kerana dalam dunia PhD, kejayaan jarang berpihak kepada mereka yang hanya bergantung kepada IQ.
Sebaliknya, ia lebih cenderung kepada mereka yang tahu menghormati ilmu, menghargai pengalaman, dan membina hubungan yang betul dengan insan yang membimbing mereka.
Hakikatnya, PhD bukan menapis siapa yang paling bijak, tetapi siapa yang cukup matang untuk belajar dan cukup rendah diri untuk dibimbing.
Jujur…..berapa ramai sebenarnya pelajar PhD yang betul-betul faham peranan supervisor?
Atau kita lebih selesa salahkan orang lain bila kita sendiri tak tahu cara belajar?
Zaliha Idris (zaliha.mediawarfare1@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
