
Bukan Sebab Kenyang, Kajian Pakar Jepun Dedah Punca Kucing Tak Habis Makan
Ramai pemilik kucing pernah berdepan situasi sama, makanan dihidang penuh tetapi yang dimakan hanya separuh.
Keadaan ini sering menimbulkan persoalan dan kadangkala membimbangkan, terutama apabila ia berlaku berulang kali.
Kebiasaannya, kita menganggap kucing sudah kenyang atau tidak lagi berselera.
Namun, satu kajian terbaru dari Jepun mendedahkan hakikat yang berbeza, tingkah laku ini sebenarnya berkait rapat dengan deria bau kucing itu sendiri.
Selera makan kucing boleh menurun
Menurut The Japan Times, penyelidik dan pakar mendapati bahawa faktor utama kucing meninggalkan makanan bukanlah kerana kenyang, sebaliknya berpunca daripada rasa bosan terhadap bau makanan yang sama.
Pasukan dari Universiti Iwate mengesahkan selera makan kucing akan menurun apabila haiwan itu sudah terbiasa dengan bau makanannya, manakala pendedahan kepada bau baharu mampu merangsang mereka untuk makan semula.

Dalam kajian tersebut, beberapa ekor kucing diuji dengan jenis makanan yang sama secara berulang.
Selain itu, pasukan penyelidik meneliti jumlah makanan yang diambil berdasarkan perbezaan jenis makanan dan bau.
Hasilnya, selera makan mereka semakin berkurang apabila terdedah kepada bau yang sama untuk tempoh tertentu.
Kajian ini dapat bantu kucing yang menghadapi kesukaran untuk makan
Namun begitu, apabila bau atau variasi makanan diubah, selera mereka kembali meningkat dengan ketara.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal sains antarabangsa Physiology & Behavior itu menegaskan selera makan kucing boleh menurun apabila mereka sudah terbiasa dengan bau makanan yang sama atau apabila mereka sudah kenyang.
Difahamkan, ia juga boleh meningkat semula apabila terdedah kepada rangsangan bau yang baharu.

Pasukan penyelidik percaya bahawa mekanisme yang dipacu oleh bau ini menjadi antara faktor kucing cenderung makan dalam kuantiti kecil tetapi lebih kerap.
“Kami berharap kajian ini dapat membantu kucing yang sakit dan menghadapi kesukaran untuk makan dengan meningkatkan selera serta pengambilan makanan melalui penambahan bau baharu pada hidangan mereka,” kata penyelidik seperti yang dilaporkan dalam The Japan Times.
Baca juga:

