
LANGKAH kaki memasuki alam dewasa tanpa payung keluarga di sisi bukanlah sesuatu yang mudah, malah kadangkala terasa begitu menghimpit jiwa.
Bayangkan pada usia yang masih setahun jagung, anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini perlu berdiri di atas kaki sendiri, mencari arah perlindungan, wang saku dan masa depan yang masih samar.
Memahami badai yang melanda jiwa remaja ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) tidak pernah membiarkan mereka berjalan sendirian dalam kegelapan.
Menerusi satu inisiatif murni yang dikenali sebagai Anjung Sinar, sebuah sinar harapan baharu mula memancar bagi memastikan kumpulan ini, terutamanya yang tidak mempunyai keluarga, kekurangan sokongan atau datang daripada latar belakang kurang berkemampuan, mempunyai platform terbaik untuk memulakan hidup berdikari.

Menariknya, pendekatan yang dibawa kali ini bukan sekadar memberi bantuan semata-mata, tetapi lebih fokus kepada melengkapkan diri mereka dengan ilmu dada melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Melalui kolaborasi mantap bersama pelbagai agensi dan pihak korporat, anak-anak bertuah ini didedahkan dengan pelbagai kursus jangka pendek yang sangat praktikal dan relevan dengan industri masa kini.
Antara pengisian yang cukup menarik termasuklah latihan gunting rambut, seni pembuatan kopi sebagai barista, seni jahitan, pengendalian makanan dan minuman, sehilgalah kepada selok-belok dunia keusahawanan.
Bukan sekadar teori di dalam kelas, mereka juga diberi peluang keemasan untuk menjalani latihan praktikal dalam suasana kerja yang sebenar, sekali gus membina semula keyakinan diri yang mungkin pernah rapuh suatu ketika dahulu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Sri Hajah Nancy Shukri berkata, agenda pemerkasaan ini sangat kritikal untuk membentuk masa depan anak-anak ini.
“Anjung Sinar bukan sekadar menyediakan perlindungan sementara, tetapi menjadi platform pembangunan potensi diri, latihan kemahiran dan akses kepada peluang pekerjaan agar anak-anak ini mampu berdikari serta keluar daripada kitaran kesukaran hidup,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan yang dilaksanakan adalah secara menyeluruh, meliputi aspek pendidikan, latihan dan kemahiran, bantuan sara hidup, peluang pekerjaan, penginapan sementara serta pembangunan potensi diri.
Segala perancangan ini digerakkan secara berfasa merangkumi fasa transisi, fasa transformasi dan fasa integrasi, yang mana kesemuanya dibangunkan hasil bengkel yang melibatkan pegawai serta agensi di bawah KPWKM bersama anak-anak daripada institusi JKM sendiri.
Buktinya, penganjuran Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menghimpunkan seramai 126 peserta dari seluruh negara.
Pilihan lokasi kampus hijau ini juga sangat simbolik dalam usaha meniup inspirasi dan membakar semangat anak-anak bertuah ini.
“Saya juga amat berbesar hati kerana program pada tahun ini dilaksanakan di Universiti Putra Malaysia.
"Saya percaya pengalaman berada di kampus ini akan memberi inspirasi kepada anak-anak untuk terus memasang impian yang lebih besar untuk bergelar mahasiswa dan menjadi insan berjaya suatu hari nanti,” jelas beliau dengan penuh harapan.
Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2023, program yang kini memasuki siri keempat pelaksanaan telah melatih ramai peserta daripada 22 institusi JKM di seluruh negara, sekali gus membuktikan komitmen berterusan pihak kementerian dalam memastikan tiada seorang pun anak-anak ini yang tercicir daripada perhatian masyarakat.

Malah, untuk memantapkan lagi masa depan mereka, YKN turut memperluaskan rangkaian strategik dengan Kulim Hi Tech Park Skills Centre (KHTPSC) bagi membuka pintu peluang pekerjaan dalam sektor industri berteknologi tinggi.
Beberapa kisah kejayaan peserta terdahulu juga sudah pun mula menampakkan hasil yang membanggakan.
Sebagai contoh, ada dalam kalangan mereka yang telah mengikuti latihan gunting rambut menerusi Kolej Komuniti Selayang kini berjaya menjana pendapatan sendiri melalui Wagon Kiosk Kasih yang ditaja oleh Public Islamic Bank Berhad, manakala sebahagian lagi mengasah bakat sebagai barista profesional di Kafe Ngopi dan Cerita.
Bagi meluaskan lagi empayar kemahiran ini, fokus latihan akan terus diperkasa ke bidang kecantikan, terapi kesihatan, kraftangan serta pembuatan pastri yang bakal dipusatkan di Anjung Dinamik yang baru sahaja dilancarkan.
Suasana kemuncak program turut diserikan dengan penuh emosi apabila pihak kementerian mengambil kesempatan meraikan anak-anak institusi JKM yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025.
