
KUALA LUMPUR: Pelakon, Hannah Delisha tidak menolak kemungkinan untuk melangkah ke belakang tabir sebagai pengarah atau penerbit sekiranya diberikan peluang dan rezeki pada masa depan.
Bagaimanapun, Hannah menyedari bidang pengarahan bukan sesuatu yang boleh diceburi secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan proses panjang serta pengalaman yang mencukupi untuk memastikan hasil karya yang dihasilkan berkualiti.
“Kalau diberikan rezeki dan keberanian, Insya-Allah, memang mahu. Ada, ada keinginan itu cuma memerlukan banyak perkara. Ia satu proses yang panjang. Bukan semua orang boleh terus jadi pengarah.
“Sebenarnya boleh sahaja nak jadi pengarah atau penerbit, boleh, tetapi sama ada dia berkualiti atau tidak, itu yang saya cakap, tak semua orang boleh buat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Hannah, pengalaman bertahun-tahun berada di set penggambaran juga membuatkan dia memahami beratnya tanggungjawab yang dipikul seorang pengarah, khususnya ketika mengendalikan produksi drama yang memerlukan komitmen berterusan.
“Tetapi kan susah jadi pengarah. Penat tahu. Setiap hari banyak berfikir. Sekurang-kurangnya kita pelakon ini mungkin ada hari tertentu kita cuti, tetapi mereka memang hari-hari tanpa henti.
“Jadi saya sangat menghormati. Tak kisahlah perempuan atau lelaki, tetapi asalkan awak seorang pengarah dan awak mengarah drama, terutama sekali drama. Ya Allah, drama memenatkan,” katanya.
Hannah berkata, walaupun tidak pernah mengikuti pembelajaran secara khusus mengenai kerja pengarahan, pengalaman sebagai pelakon memberinya peluang untuk memerhati pendekatan dan cara kerja pengarah yang berbeza sepanjang berada di set.
“Tak adalah macam saya tanya bersungguh-sungguh belajar, tetapi mungkin sebab bila saya dah bertahun dah berlakon ini, kita adalah juga macam tengok bagaimana cara pengarah bekerja.
“Bagi saya semua pengarah cara mereka berbeza,”katanya.
The post Bukan semua orang terus boleh jadi pengarah – Hannah Delisha appeared first on Utusan Malaysia.






