​'Bukan serangan jantung, cuma keletihan, tersilap makan' - Ahmad Amzad

LocalPolitics
8 Jul 2026 • 5:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ​'Bukan serangan jantung, cuma keletihan, tersilap makan' - Ahmad Amzad
Ahmad Amzad. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menafikan dakwaan bahawa insiden beliau hampir pitam di Parlimen pada Selasa berpunca daripada serangan jantung.

​Sebaliknya, beliau menjelaskan situasi tersebut dipercayai akibat faktor keletihan selain masalah tersilap makan.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN), termasuk ujian elektrokardiogram (ECG) serta ujian makmal darah, mengesahkan keadaan jantungnya berada dalam keadaan stabil.

​"Doktor di IJN mengesahkan keadaan jantung saya stabil selepas keputusan ujian makmal darah diperoleh

"Tahap kesihatan saya semakin pulih, tapi dinasihatkan oleh pihak hospital untuk berehat dulu buat sementara waktu di hospital," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ahmad Amzad berkata, beliau percaya masalah kesihatan yang dialaminya ketika menunggu giliran membahaskan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2024 bukan berpunca daripada serangan jantung.

Susulan itu, katanya, beberapa program yang dijadualkan berlangsung sepanjang minggu ini terpaksa ditangguhkan.

​Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak, khususnya pengundi di Parlimen Kuala Terengganu yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan beliau.

Pada ​Selasa, Ahmad Amzad dilaporkan mengalami pening dan hampir pitam ketika mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Parlimen.

​Beliau kemudiannya dibawa ke Klinik Parlimen untuk rawatan awal sebelum dikejarkan ke IJN bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved