MELAKA - “Bukan saya tidak mahu bekerja, tetapi anak-anak tiada siapa yang boleh menjaga, terutama anak autisme.”
Demikian luahan ibu kepada enam anak, Norain Roslan, 33, yang bergelut dengan kesempitan hidup dan hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai pengawal keselamatan.
Menurutnya, dia pernah disarankan oleh pihak tertentu termasuk pusat zakat untuk bekerja bagi menambah pendapatan keluarga, namun kekangan menjaga anak-anak menyebabkan perkara itu sukar dilaksanakan.
“Saya memang tidak bekerja kerana ada anak autisme berusia lima tahun dan seorang lagi bayi berumur setahun.
“Ada yang menyuruh saya melakukan kerja seperti membersihkan surau, tetapi anak-anak tiada siapa yang boleh menjaga, terutama anak autisme yang memerlukan perhatian penuh,” katanya ketika ditemui di sini.
**media[3467167]**
Norain berkata, anaknya yang menghidap autisme memerlukan pemantauan rapi kerana pernah beberapa kali terlepas keluar ke jalan, selain berdepan situasi sukar dikawal di rumah.
“Kadang-kadang keadaan di rumah jadi huru-hara. Anak autisme pernah bermain najis dan saya tidak berani meninggalkannya seorang diri.
“Pernah juga beberapa kali dia terlepas keluar ke jalan, mujurlah tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Menurutnya, suaminya sebelum ini bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu sebelum baharu mendapat pekerjaan tetap sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Bagaimanapun, katanya, mereka masih terbeban dengan hutang pinjaman tidak berlesen yang perlu dibayar sebanyak RM700 setiap bulan.
“Suami saya mula meminjam RM2,000 sahaja, tetapi lama-kelamaan terpaksa membuat pinjaman lain untuk menutup hutang lama sehingga bayaran bulanan menjadi tinggi.
“Saya sendiri tidak tahu dia meminjam kerana dia lakukan secara senyap-senyap disebabkan kesempitan hidup,” katanya.
**media[3467169]**
Norain berkata, bantuan zakat yang diterima sejak Januari lalu serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM850 sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga.
Namun, katanya, mereka pernah melalui saat sukar apabila terpaksa mengikat perut dengan makanan ringkas.
“Pernah tiga hari berturut-turut kami hanya makan bihun goreng dengan telur kerana itu yang paling murah.
“Kalau ada beras, kami masak nasi goreng telur sahaja. Kadang-kadang buntu juga memikirkan apa yang hendak dimasak dengan duit yang ada,” katanya.
Tambahnya, dalam keadaan terdesak, dia terpaksa mendapatkan bantuan daripada masjid berhampiran bagi memastikan keperluan asas keluarga mencukupi.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan pasukan Pejabat Parlimen yang diketuai Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang turut serta bergotong-royong membersihkan kediaman keluarga berkenaan.
Melalui sumbangan dana, keluarga itu dibantu dengan beberapa perkakasan rumah termasuk pemasangan tikar dan pembelian tilam serta beberapa barangan elektrik.
Program tersebut diadakan bagi membantu meringankan beban sebagai persiapan Aidilfitri.
