Bukan Untuk Berhias, Rupanya Ini Sebab Ada Cermin Dalam Sesetengah Lif

Architecture
16 Dec 2023 • 12:27 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Bukan Untuk Berhias, Rupanya Ini Sebab Ada Cermin Dalam Sesetengah Lif

Di Malaysia, kebanyakan bangunan setinggi lima tingkat dan ke atas akan memiliki kemudahan lif untuk para penghuninya.

Dengan adanya lif, pergerakan penghuni menjadi lebih mudah terutamanya kerja-kerja membawa barang dari tingkat bawah ke tingkat paling atas.

Selain itu, lif juga menjimatkan masa dalam waktu terdesak, misalnya ketika membawa orang sakit turun untuk menerima rawatan di hospital.

Kebanyakan lif boleh dijumpai dalam bentuk kabin yang bersaiz kecil dan ia juga sering dijumpai dengan ciri cermin di dalamnya.

Namun begitu, pernah atau tidak anda terfikir, apa tujuan sebenar cermin dipasang dalam sesebuah lif?

Adakah cermin ini untuk membantu pengguna berhias ketika menggunakan lif atau atas faktor keselamatan?

Jadi, hari ini SK hendak berkongsi serba sedikit kenapa sesetengah lif mempunyai cermin di dalam kabin.

Sebelum kita membincangkan tentang persoalan tersebut, mari kita ketahui terlebih dahulu berkenaan sejarah lif.

Lif telah wujud sejak 336 SM bagi tujuan membina struktur bangunan

Konsep lif dipercayai sudah bermula kira-kira 336 SM lalu. Ketika itu, lif digunakan sebagai alat untuk mengangkat kargo berat, terutamanya ketika pembinaan struktur bangunan.

Kredit Wikimedia Commons

Lif moden pada hari ini pula memiliki ciri keselamatan yang terjamin dan mampu membantu memudahkan urusan dengan lebih pantas.

Jika dahulu, lif berfungsi dengan cara menggunakan tali untuk membawa kabin naik dan turun. Tali yang diguna secara kerap boleh menjadi haus dan berisiko untuk putus ketika digunakan. Padah yang menanti sudah tentu kemalangan yang amat ngeri untuk dibayangkan.

Justeru ciri keselamatan seperti brek kemudiannya telah dicipta oleh seorang pencipta yang dikenali sebagai Elisha Otis. Brek keselamatan ini akan keluar dari dinding kabin apabila lif tersebut bergerak melebihi kelajuan pergerakannya.

Fungsi brek tadi adalah untuk menghalang kabin daripada jatuh lebih jauh, sekali gus mengelakkan sebarang kemalangan tragis yang teruk.

Cermin dalam lif?

Lif bersaiz kabin kecil boleh menimbulkan perasaan cemas dan takut bagi mereka yang memiliki claustrophobia.

Claustrophobia dikenali sebagai ketakutan terhadap ruang yang sempit dan terkurung. Individu yang memiliki fobia ini akan cuba mengelak daripada berada dalam ruang terkurung seperti lif, terowong dan seumpama dengannya seorang diri.

Kredit Shutterstock

Oleh itu, syarikat pengeluar lif telah mengemukakan dua penyelesaian dalam menangani isu ini. Dua penyelesaian itu adalah dengan meningkatkan kelajuan lif bagi mengurangkan masa penumpang berada di dalam lif atau memasang cermin.

Jalan penyelesaian yang dipilih adalah dengan memasang cermin kerana ia dilihat sebagai jalan penyelesaian yang terbaik.

Menurut Science ABC, cermin adalah penyelesaian yang terbaik kerana ia berfungsi sebagai ‘gangguan’ kepada orang ramai ketika menggunakan lif.

Macam mana cermin berfungsi?

Cermin dipercayai boleh membuatkan pengguna leka dan menghabiskan masa meneliti persekitaran mereka.

Sebagai contoh, penumpang mungkin menggunakan masa berada di dalam lif untuk meneliti pakaian yang dipakai berbanding berimaginasi yang bukan-bukan.

Selain itu, cermin juga akan menjadikan ruang lif kelihatan lebih besar daripada kebiasaannya.

Justeru ia akan membantu mereka yang mengalami claustrophobia untuk berasa lebih selesa dan selamat.

Kesimpulannya, kewujudan cermin di dalam lif adalah untuk memberikan gangguan baik yang bersifat mengalih fikiran pengguna daripada perkara yang menakutkan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi ilusi keluasan dalam kabin lif tersebut.

Sumber: Science ABC