
Bukan Untuk Senjata Semata, Ini Manfaat Lain Nuklear Untuk Manusia Yang Ramai Tak Tahu
Nuklear bukanlah satu istilah yang asing kepada rakyat Malaysia. Namun begitu, istilah berkenaan lebih kerap digandingkan dengan konotasi negatif dalam perbualan awam.
Misalnya, apabila disebut nuklear, perkara pertama yang terlintas di minda tentunya senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan radiasi yang boleh membahayakan nyawa manusia.
Namun begitu, seperti banyak perkara lain, nuklear juga ada sisi hitam dan sisi putihnya. Apabila digunakan untuk tujuan yang baik, nuklear mempunyai pelbagai fungsi yang boleh dimanfaatkan untuk kemaslahatan ramai.
Di Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang berada dibawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) adalah organisasi utama yang bertanggungjawab dalam penyelidikan dan pembangunan nuklear di negara ini.
Siakap Keli pada 31 Julai berkesempatan melakukan kunjungan hormat bersama Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr Rosli Darmawan, bagi melihat sendiri peranan yang dilaksanakan oleh Nuklear Malaysia.
Lawatan ke Reaktor TRIGA PUSPATI
Menurut Dr. Rosli, Nuklear Malaysia menerusi Pusat Teknologi Reaktor (PTR) merupakan pengendali satu-satunya reaktor nuklear yang ada di Malaysia, Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) yang digunakan untuk tujuan penyelidikan.
RTP yang berkuasa nominal 1MWatt boleh melaksanakan pelbagai penyelidikan berasaskan sumber neutron, khidmat penyinaran untuk aplikasi nuklear di dalam bidang industri, perubatan dan alam sekitar.
Sebenarnya, banyak sudah yang berjaya dicapai oleh Nuklear Malaysia melalui penyelidikan-penyelidikan yang dibuat sejak RTP ditauliahkan pada 28 Jun 1982.
Antara bidang yang menerima manfaat terbesar daripada penyelidikan yang dibuat adalah industri pertanian, agroteknologi dan biosains, perubatan, industri minyak dan gas serta membekalkan teknologi seperti radar penembusan tanah (GPR).
Misalnya dalam industri pertanian, agroteknologi dan biosains, Nuklear Malaysia turut melakukan penyelidikan mutasi aruhan untuk menghasilkan biji benih, seperti benih padi yang lebih tahan dengan perubahan iklim.
Manakala teknologi isotop stabil pula boleh digunakan untuk mengesan ketulenan serta lokasi asal pengeluaran sesuatu produk, seperti madu dan sarang burung walit.
Selain itu, teknik fitosanitasi yang menggunakan sinaran gama untuk membunuh serangga pada produk pertanian seperti buah-buahan memberi manfaat kepada aktiviti eksport produk tersebut.
Berbeza dengan kaedah kimia, teknik sinaran gama mampu menembusi produk untuk membunuh serangga dengan tidak meninggalkan sebarang kesan sisa pada buah-buahan.
Banyak manfaat dalam pelbagai bidang
Dalam dunia perubatan, gabungan Sm-153 bersama kit radiofarmaseutik EDTMP kini boleh digunakan dalam rawatan paliatif pesakit kanser dan juga telah digunakan oleh pesakit kanser tulang di Institut Kanser Negara (IKN).
Seterusnya, teknologi GPR pula dapat memudahkan operasi-operasi menyelamat seperti mencari mangsa yang tertimbus dalam tanah, seperti insiden yang berlaku di Batang Kali pada 2022.
Dengan itu dapatlah disimpulkan bahawa teknologi nuklear sebenarnya mempunyai manfaat yang sangat besar dan boleh memberikan impak yang sangat positif kepada kehidupan kita.
Tanpa kita sedar, kita mungkin pernah menggunakan atau bergantung kepada teknologi-teknologi yang dibangunkan menerusi penyelidikan nuklear setiap hari.
Semoga usaha dan penyelidikan berterusan yang dijalankan oleh Nuklear Malaysia dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada negara di masa akan datang.
The post Bukan Untuk Senjata Semata, Ini Manfaat Lain Nuklear Untuk Manusia Yang Ramai Tak Tahu appeared first on Siakap Keli.



