Bukti keupayaan anak Sabah di peringkat Asean: Hajiji

LocalBusiness & Finance
20 Dec 2025 • 2:20 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kejayaan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou Telupid, Gerald Wong, mencerminkan keupayaan anak Sabah untuk memimpin dan cemerlang dalam inisiatif pembangunan luar bandar di peringkat Asean, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau memuji Gerald yang menerima Anugerah Kepimpinan Asean Ke-7 bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat serantau.

“Tahniah atas pencapaian membanggakan ini. Kejayaan Gerald wajar dijadikan contoh, khususnya oleh golongan belia Sabah, sebagai bukti bahawa usaha gigih dan komitmen dalam pembangunan komuniti mampu mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Gerald merupakan antara 20 penerima anugerah daripada 10 negara Asean, meletakkan Sabah sebaris dengan tokoh serantau yang diiktiraf atas kepimpinan cemerlang dalam pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan komuniti.

Mengulas mengenai anugerah itu, Gerald berkata pengiktirafan berkenaan mencerminkan usaha kolektif bersama komuniti luar bandar yang terlibat dalam inisiatif pertanian moden.

“Menerusi Farm Tokou, kami memperkenalkan pendekatan seperti hidroponik, akuaponik dan sistem pertanian berasaskan teknologi, disokong latihan kemahiran serta pembangunan ekonomi komuniti bagi menjana pendapatan sampingan yang mampan,” katanya.

Sejak 2023, Farm Tokou beroperasi di Telupid dan Penampang, selain membimbing lebih 100 komuniti luar bandar di 10 daerah, termasuk Sook, Ranau, Kudat dan Papar.

Gerald menegaskan anugerah itu bukan kejayaan individu semata-mata, sebaliknya merupakan pencapaian bersama komuniti yang komited terhadap inovasi dalam bidang pertanian.

“Anugerah ini milik semua komuniti yang percaya pertanian moden boleh menjadi pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.