
SHAH ALAM - Media cetak dan digital yang melaporkan berita tanpa memihak mana-mana parti atau agenda membuktikan keupayaan wartawan di negara ini yang berintegriti dan berdaya tinggi dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
Ia boleh dilihat menerusi Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RWB) yang membuktikan Malaysia berada di landasan tepat dalam melaksanakan agenda kebebasan media.
Pensyarah Kanan Teknologi Media Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Norsiah Abdul Hamid berpandangan, fungsi media massa perlu difahami semua pihak agar tidak timbul isu laporan berat sebelah dan penyebaran propaganda atau lidah rasmi parti politik tertentu.
“Ekosistem kebebasan media di Malaysia perlu lebih harmoni, inklusif dan saksama, termasuk bersifat bebas dan terbuka kepada pandangan semua pihak, tanpa campur tangan mana-mana pihak termasuk parti politik.
“Media perlu diberikan lebih kebebasan untuk membawa suara rakyat dengan lebih berkesan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada 13 Julai, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berpandangan, Sinar Harian adalah contoh organisasi yang berjaya menyemarakkan perjuangan kebebasan media di Malaysia dengan laporan berita bersifat neutral.
Katanya, pendirian yang dipegang akhbar itu seharusnya diterima baik semua pihak sebagai bukti media bukan corong propaganda pemerintah atau lidah rasmi pembangkang.
Sebelum itu, pengasas dan penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sewaktu media sosial tidak ada lagi gangguan digital pada masa dahulu, semua media di Malaysia dikawal parti politik kecuali Sinar Harian.
Ujarnya, beliau seorang yang berpegang kepada kebebasan media dan pemikiran politik baharu di mana masyarakat perlu berhujah dan bukan politik yang mengindoktrinasikan.
Mengulas lanjut, Norsiah berkata, Sinar Harian telah membuktikan falsafah penubuhannya sebagai sebuah akhbar bersifat neutral sejak ia diterbitkan, sesuai dengan tagline 'Telus dan Tulus'.
“Saya melihat akhbar tersebut bergerak seiring perkembangan teknologi digital yang amat drastik sekarang, melalui pelbagai platform yang disediakan kepada khalayak.
“Saya juga yakin Sinar Harian mampu bertahan dan kekal relevan dalam dunia kewartawanan yang serba mencabar dan dinamik,” ujar beliau.
