Buktikan dakwaan: Armizan

LocalPolitics
3 Apr 2025 • 12:32 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

PAPAR: Datuk Armizan Mohd Ali mencabar tiga ahli politik pembangkang untuk membuktikan dakwaan mereka bahawa beliau terlibat dalam skandal rasuah perlombongan Sabah.

Sebagai alternatif, mereka harus membantunya mengesan individu yang menjadi sumber utama dakwaan ini kerana tiga ahli politik itu menghantar semula dakwaan tersebut melalui media sosial.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu menamakan tiga ahli politik tersebut sebagai Jeffery Nor Mohamed (Umno Sabah) serta Calvin Chong dan Ahmad Hassan (Warisan).

“Saya minta Ahmad yang menyumbang kepada penularan ‘mesej layang’ itu agar membantu saya mencari dan bawa sumber dakwaan palsu itu, jika dua ‘watak’ ini benar-benar wujud.

“Begitu juga Calvin dan Jeffery supaya cari dan bawa ‘Datuk Z’ dan ‘wartawan siasatan (X7)’ ini keluar dari ‘alam ghaib’, seterusnya dedahkan segala bukti yang mereka ada berkaitan tuduhan itu.

“Dengan adanya sumber itu, saya boleh mulakan tindakan saman/libel dan mereka (‘Datuk Z’ dan wartawan X7) perlu kemukakan bukti (sekiranya ada) bahawa tuduhan mereka benar.

“Jangan ‘baling batu, sembunyi tangan’.

“Tampilkan diri, buktikan kalau dakwaan ini bukan fitnah dan kita jumpa di mahkamah,” tegasnya ketika ditemui di Majlis Ihya Ramadan Parlimen Papar dirasmikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Setia Dr Na’im Mokhtar, di sini, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Papar itu mengulas gesaan pemimpin Umno Sabah dan Warisan berhubung isu tular di media sosial, baru-baru ini.

Dilaporkan, beberapa hantaran di Facebook memetik “Datuk Z” mendakwa Armizan terlibat dalam rundingan antara firma Indonesia dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung lesen carigali mineral di Sabah.

Hantaran itu turut memaparkan gambar lawatan SMM dan Armizan ke pejabat syarikat perlombongan berkenaan, PT Bayan Resources di Jakarta pada 16 Mei 2023 lepas.

Terdahulu, Jeffery Nor mencabar Armizan supaya menjelaskan dua gambar tular yang didakwa menunjukkan pertemuannya dengan wakil syarikat itu.

Beliau juga mempertikai penglibatan Armizan dalam perkara berkenaan dan mempersoal sama ada perjalanan ke Indonesia itu telah diisytiharkan kepada Jabatan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara.

Calvin baru-baru ini turut mendesak GRS menyatakan pendirian terhadap dakwaan rasuah dikaitkan dengan Armizan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS.

Susulan itu, Armizan tampil menafikan dakwaan bahawa dirinya terbabit dalam rasuah dalam satu kenyataan sebelum ini dan merancang membuat laporan polis terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Armizan mencabar Jeffery, Calvin dan Ahmad supaya membuat satu kenyataan jelas bahawa mereka senada dengan penyebar berita palsu itu jika percaya dengan dakwaan tersebut.

“Saya juga arahkan peguam untuk menulis secara rasmi bagi mendapatkan penjelasan sama ada tindakan itu membawa maksud mereka senada dengan ‘mesej layang’ bahawa saya terlibat skandal rasuah,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, laporan polis juga telah dibuat terhadap Ahmad ekoran tindakannya menyebar berita itu sebelum menentukan kesahihannya dan ketika ini masih menunggu hasil siasatan.

Bagaimanapun, katanya, jika masih tiada sebarang tindakan, beliau akan bertindak saman fitnah terhadap Ahmad kerana telah menularkan satu perkara tidak benar berkaitan dirinya.

Beliau menjelaskan, penglibatannya dalam mesyuarat dengan firma perlombongan Indonesia itu adalah atas kapasiti rasmi sebagai Ahli Lembaga Pengarah SMM.

Menurutnya, kehadiran beliau juga bukan seorang diri tetapi bersama pengurusan termasuk pasukan teknikal SMM sebagai sebuah anak syarikat (GLC) kerajaan negeri bagi mendengar cadangan pelaburan daripada PT Bayan Resources.

“Saya masih lagi Ahli Lembaga Pengarah SMM ketika itu dan atas kapasiti itu saya datang ke Indonesia atas jemputan PT Bayan kepada SMM dan saya datang tidak ‘tapuk-tapuk’ (sembunyi).

“Sebaliknya, saya datang bersama hampir keseluruhan pengurusan SMM dan pasukan teknikal sebab mereka yang pakar dalam urusan ini bagi menilai cadangan pelaburan PT Bayan ini.

“Kami takkan bergambar kalau datang secara sulit sebagaimana didakwa dalam ‘mesej layang’ itu, malah bukan saya saja dalam gambar itu, tetapi semua pengurusan daripada kedua belah pihak pun ada.

“Perletakan jawatan saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah SMM pun pada 1 September 2023, sedangkan mesyuarat bersama PT Bayan pada 16 Mei 2023 yang menunjukkan kehadiran saya adalah relevan,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata PT Bayan Resources adalah sebuah syarikat pembayar cukai terbesar di Indonesia dan mempunyai rekod prestasi baik dalam operasi perniagaannya di negara itu.

Menurutnya, corak operasi syarikat itu juga menitikberatkan kepentingan masyarakat yang berada di sekitar operasi perlombongan mereka dengan turut membawa pembangunan mapan di kawasan itu.

“PT Bayan Resources adalah pelabur tulen, bukan macam syarikat-syarikat ‘kartel’ yang tiada ‘track record’, kerana mereka mampu mengubah kawasan diterokai menjadi sebuah bandar di Kalimantan.

“Jelas di sini, mereka tidak memikirkan perniagaan saja tetapi turut melibatkan kepentingan masyarakat malah turut membina sekolah seterusnya peluang pekerjaan di kawasan diterokai.

“Sebab itu, kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan pelaburan daripada firma ini disebabkan prestasi mereka itu melalui mesyuarat pada 16 Mei tahun 2023 lepas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, penulis ‘mesej layang’ itu jelas tidak mendapat maklumat tepat daripada ‘sumber dalaman’ dan cubaan untuk mempersoalkan kapasiti beliau bagi merosakkan reputasinya juga gagal.

Beliau turut menempelak pemimpin yang menjadi ‘suara lantang’ kepada isu itu kerana mempercayai sumber tidak sahih dan hanya berselindung tanpa identiti jelas.

“Sebagai pemimpin, mereka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan dan tidak bermodalkan fitnah untuk mencipta persepsi politik.”