
Kota Kinabalu: Isteri kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Toh Puan Faridah Tussin berkenaan merasmikan Program Mutiara Kasih Ramadan dan Sinar Tinta Mahrajan, Isnin.
Program anjuran Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS) dan agensi berkaitan itu turut dihadiri pengerusinya, Datin Seri Julia Salag.
Tidak ketinggalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Ariffin Arif dan Yang Di Pertua (YDP) Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Seri Yahya Hussin hadir bersama memeriahkan majlis itu.
Pelbagai acara kebajikan diadakan di majlis berkenaan termasuk penyerahan sumbangan ‘duit raya’ kepada asnaf dan penyerahan watikah lantikan sekretariat Mahrajan dan anugerah khas seniman islamiah.
Pelancaran Buku Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara serta penyerahan zakat perniagaan daripada agensi-agensi terlibat turut diadakan.
Sementara itu, Ariffin berkata, Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara yang diadakan sejak 10 tahun lalu menjadi platform kepada sasterawan dan penulis dari seluruh pelusuk Asean.
Katanya, himpunan yang diadakan setiap tahun itu turut melibatkan penganjuran bengkel kesenian sastera serta penulisan puisi termasuk pelbagai pertandingan kesenian islamiah.
“Buku Mahrajan Kesenian Islam dan Persuratan yang dilancarkan hari ini mengandungi pelbagai maklumat berkaitan program-program kita laksanakan di bawahnya sejak 10 tahun lepas,” katanya.
Mengenai majlis itu, Ariffin berkata, ia adalah kolaborasi di antara Muis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Baitulmal Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sehubungan itu katanya, program itu akan menjadi salah satu program teras sempena Ramadan selepas ini dengan melibatkan penyertaan semua agensi dan jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti masyarakat.


