
Kota Kinabalu: Sebuah buku baharu bertajuk Hajiji Noor: Manifestasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 – Transformasi Sosioekonomi, Kedaulatan Hak dan Visi Strategik Masa Depan bakal diterbitkan dalam masa terdekat.
Buku berkenaan merakamkan jejak kepimpinan serta pencapaian Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di bawah kerangka agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani berkata buku setebal 250 halaman itu memaparkan kepimpinan pragmatik dan dinamik Hajiji dalam mengemudi pentadbiran Sabah menerusi pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang berpaksikan tiga teras utama.
Beliau menyatakan tiga teras itu meliputi pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan; pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat dan pembangunan jaringan infrastruktur serta kelestarian hijau.
“Ketiga-tiga teras ini menjadi asas kepada usaha memajukan Sabah dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Buku ini turut merakamkan secara menyeluruh komitmen berterusan Hajiji dalam menangani isu prasarana asas yang berlarutan sejak sekian lama, termasuk usaha meningkatkan sistem bekalan air dan elektrik di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Jasni yang juga penulis buku terbabit berkata naskhah itu turut menyorot ketegasan dan kebijaksanaan Hajiji dalam memperjuangkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri, isu industri minyak dan gas bersama Petronas serta usaha menangani pendatang asing tanpa izin (PTI) di Sabah.
Beliau berkata buku itu turut mengetengahkan pendekatan unik kepimpinan Hajiji yang sentiasa berhati-hati, tenang dan mengutamakan rundingan bertolak ansur dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
“Pendekatan diplomasi dan semangat musyawarah yang beliau amalkan telah membawa banyak perubahan kepada hala tuju negeri ini.
“Beliau berjaya menyelesaikan pelbagai isu rumit membabitkan kepentingan Sabah secara berhemah tanpa mencetuskan konflik atau kontroversi politik yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat,” katanya.
Menurut Jasni selain menyentuh aspek pembangunan fizikal dan hak perlembagaan, buku itu turut memaparkan usaha pentadbiran Hajiji membasmi kemiskinan tegar menerusi pelbagai inisiatif berfokus di samping memperkukuh sektor pendidikan dan pembangunan modal insan bagi menjamin masa depan generasi muda Sabah.
Beliau memaklumkan buku Hajiji Noor: Manifestasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 – Transformasi Sosioekonomi, Kedaulatan Hak dan Visi Strategik Masa Depan merupakan dokumentasi mengenai visi kepimpinan Hajiji yang diterjemahkan kepada pelaksanaan dasar serta amanah yang dipikul dalam mendepani cabaran geopolitik semasa.
Ujarnya buku itu dijangka menjadi bahan rujukan penting kepada penggubal dasar, ahli akademik dan masyarakat umum yang ingin memahami falsafah kepimpinan Hajiji dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan kemakmuran Sabah.


