Buku pesanan Pekat dijangka cecah RM320 juta akhir 2024, MIDF Research kekalkan saranan 'Beli'
herman
03/09/2024 - 12:32
KUALA LUMPUR 3 Sept - MIDF Research menjangkakan buku pesanan Pekat Group Berhad bakal berkembang kepada kira-kira RM320 juta menjelang akhir tahun 2024.
Menurut firma penyelidikan itu, ini disokong oleh projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah Pogram Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
"Kami mengulangi saranan 'Beli' ke atas Pekat dengan harga sasaran (TP) RM1.32 sesaham memandangkan prestasi suku tahunan yang konsisten dan prospek cerah dengan dasar-dasar yang menggalakkan seperti CGPP, Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan projek solar berskala besar (LSS) 5.
"Buku pesanan tertunggaknya kekal sihat pada RM206.8 juta, yang kami jangka mampu berkembang kepada kira-kira RM320 juta akhir tahun menerusi projek CGPP EPCC," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research juga optimis mengenai mengenai cadangan pengambilalihan 60% Apex Power oleh kumpulan ini yang akan memberikannya kawalan ke atas EPE Switchgear.
"Ini membolehkan pengembangan perniagaan ke dalam peralatan pengagihan kuasa dan meneroka pasaran asing baharu, yang dijangka memperkukuhkan untung bersihnya secara signifikan bermula tahun kewangan 2025 (FY25)," jelasnya.
Sementara itu, MIDF Research menjangkakan Pekat akan meraih pendapatan berulang yang sihat sepanjang tempoh 10 tahun susulan projek membekalkan tenaga elektrik berkuasa solar kepada Sun Investments Pvt Ltd yang berpangkalan di Maldives pada harga RM30 juta.
Kata firma penyelidikan itu, perjanjian pembelian kuasa (PPA) dijangka bermula dalam masa 12 bulan dari tarikh penguasaan tapak.
"Kami mengekalkan anggaran keuntungan Pekar sehingga terdapat penjelasan lanjut mengenai garis masa permulaan PPA," ujarnya. - DagangNews.com


