Buku tempahan Exsim Hospitality meningkat kepada RM577.5 juta, TA Securities naikkan unjuran keuntungan hingga FY28

LocalBusiness & Finance
1 Jul 2026 • 11:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Buku tempahan Exsim Hospitality meningkat kepada RM577.5 juta, TA Securities naikkan unjuran keuntungan hingga FY28 Image from: Buku tempahan Exsim Hospitality meningkat kepada RM577.5 juta, TA Securities naikkan unjuran keuntungan hingga FY28 liza01/07/2026 - 11:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Julai – Exsim Hospitality Berhad (EXSIMHB) terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila momentum kemenangan kontrak baharu kumpulan kekal kukuh yang terus meningkatkan prospek pendapatan bagi tempoh beberapa tahun akan datang, kata TA Securities.

 

Terbaharu, anak syarikat milik penuhnya, EXSIM Concepto Sdn Bhd memperoleh kontrak kerja perobohan dan membina bangunan bernilai RM66.8 juta daripada Dynamicz Sdn Bhd dengan tempoh pelaksanaan bermula 3 Julai 2026 dan dijangka siap pada 2 Februari 2027.

 

Menurut TA Securities, kontrak ini melibatkan andaian margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 5%, yang menjana anggaran keuntungan kira-kira RM3.3 juta sepanjang tempoh projek tersebut.

 

“Dengan kemenangan ini, jumlah keseluruhan kontrak baharu EXSIMHB bagi tahun kewangan FY26 setakat ini meningkat kepada RM482.3 juta, sekali gus mengatasi jangkaan awal bahawa tiada lagi penambahan projek besar akan diperoleh menjelang akhir tahun kewangan.

 

“Jumlah tersebut menyokong pertumbuhan buku tempahan tertunggak kumpulan yang kini dianggarkan meningkat kepada RM577.5 juta, bersamaan 4.2 kali hasil segmen pembinaan FY25, memberikan keterlihatan pendapatan jangka pendek yang lebih stabil,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Dari segi prospek, TA Securities  menjangkakan momentum kemenangan kontrak akan kekal kukuh pada FY27, disokong oleh aliran kerja dalaman daripada EXSIM Development serta projek luar khususnya kerja hiasan dalaman sektor perbankan yang mempunyai nilai kontrak lebih besar dan margin lebih baik.

 

Firma tersebut turut menaikkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 0.6%, 0.1% dan 4.6%, selepas memasukkan prestasi sebenar kontrak baharu serta pelarasan kadar pelaksanaan buku pesanan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Exsim Hospitality raih kontrak RM67 juta bagi kerja pembinaan di Damansara Perdana

 

Seiring semakan tersebut, harga sasaran (TP) EXSIMHB dinaikkan kepada RM0.58 daripada RM0.56 sebelum ini, berdasarkan kaedah penilaian Sum-of-Parts (SOP).

 

Dalam penilaian SOP itu, segmen reka bentuk dan fit-out dinilai pada 14 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E), segmen hospitaliti pada 18 kali P/E, manakala Hotel Corus dinilai pada nilai buku dan Tower E Hotel pada diskaun 10% kepada nilai pasaran.

 

EXSIMHB juga menunjukkan kedudukan kewangan yang bertambah baik dengan aliran tunai yang kukuh serta status tunai bersih bermula FY26, selain unjuran tunai meningkat kepada RM244.7 juta menjelang FY28, berbanding RM7 juta pada FY25.

 

Firma tersebut berkata dari segi prestasi, syarikat mencatat pertumbuhan ketara dengan hasil meningkat daripada RM146.5 juta (FY25) kepada RM662.1 juta (FY28F), manakala keuntungan bersih dijangka meningkat kepada RM83.9 juta pada tempoh sama, dengan ROE mencecah 74% pada FY26F.

 

Prestasi saham juga kukuh apabila EXSIMHB mencatat kenaikan 18.3% (1 bulan), 50% (3 bulan), 75% (6 bulan) dan 63.6% (12 bulan), jauh mengatasi prestasi FBM KLCI yang hanya meningkat 8.6% dalam tempoh sama.

 

TA Securities mengekalkan saranan “Beli” ke atas saham ini dengan menyatakan EXSIMHB kekal sebagai penerima manfaat utama kepada saluran pembangunan EXSIM Group serta berpotensi mencipta nilai melalui strategi hospitaliti jangka panjang termasuk potensi penubuhan REIT.

 

Bagaimanapun, risiko utama kepada prospek termasuk kelembapan dalam penambahan kontrak baharu serta ketidaktentuan sektor pelancongan yang boleh menjejaskan segmen hospitaliti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved