Buli MRSM: MARA Mungkin Lantik Pesara Polis, Tentera Sebagai Warden

LocalPolitics
8 Apr 2025 • 5:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kumpulan pelajar ini dilihat membuli rakan mereka dalam satu kejadian di sebuah MRSM - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR - MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) sedang mengkaji kemungkinan mengambil pesara polis dan tentera sebagai warden di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi membendung gejala buli.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara ini adalah antara cadangan yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama Ketua Pengarah, Datuk Zulfikri Osman semalam.

Menurut beliau, pihaknya turut menerima cadangan agar warden berkenaan dilantik secara kontrak dan melalui proses temu duga serta penilaian.

“Semalam saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah mengenai usaha menghapuskan budaya buli ini.

“Warden-warden ini boleh dilantik melalui proses temu duga dan penilaian menyeluruh ke atas calon-calon dalam kalangan pesara tentera atau polis.

“Mereka perlu memiliki potensi untuk menerapkan disiplin kepada setiap pelajar dan memantau perkembangan sahsiah serta peribadi mereka,” katanya, seperti dilaporkan The New Straits Times.

image is not available
Dr Asyraf Wajdi Dusuki - Gambar fail

Jelas Asyraf, Jawatankuasa Tatatertib MRSM membuat cadangan itu susulan penularan  video melibatkan seorang pelajar yang dibuli kumpulan pelajar lain. 

Menerusi klip berdurasi lebih satu minit itu, sekumpulan pelajar lelaki dilihat menyerang rakan mereka yang terbaring di atas katil. 

Mangsa turut  dipukul dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

Asyraf Wajdi berkata, tujuh pelajar disahkan terlibat dalam kejadian buli itu manakala lima lagi adalah rakan subahat. – Getaran, 8 April 2025