Buli perlu intervensi psikologi

LocalHealth & Fitness
16 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Buli perlu intervensi psikologi

FENOMENA buli di sekolah semakin membimbangkan apabila kejadian demi kejadian terus berlaku tanpa menunjukkan tanda akan berakhir.

Masalah ini sering dianggap sebagai isu disiplin sehingga langkah penyelesaian lebih tertumpu pada hukuman dan tindakan segera. Namun, pendekatan sedemikian tidak mencukupi jika punca sebenar tingkah laku pembuli tidak dikenal pasti.

Antara ciri yang sering dikaitkan dengan perbuatan buli berulang ialah hilang rasa bersalah, kurang empati dan seronok melihat penderitaan orang lain. 

Corak ini mempunyai persamaan dengan ciri tertentu dalam gangguan personaliti psikopatik. Walau bagaimanapun, bukan semua pembuli mengalami gangguan tersebut. Penilaian perlu dilakukan oleh pihak yang berkelayakan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Individu yang mempunyai ciri psikopatik lazimnya kurang menunjukkan rasa bersalah selepas melakukan kesalahan. Mereka juga sukar memahami perasaan orang lain. 

Dalam konteks buli, keadaan ini dapat dilihat apabila pelaku terus menghina, memfitnah atau menyakiti mangsa tanpa menunjukkan penyesalan. Malah, ada yang ketawa ketika melihat mangsa menangis atau mengalami penderitaan.

Perbuatan seperti ini tidak wajar dianggap sebagai kenakalan biasa. Jika dibiarkan, tingkah laku tersebut boleh berulang dan menjadi semakin serius. Namun, faktor lain juga boleh mendorong seseorang membuli, termasuk keinginan menunjukkan kuasa, pengaruh rakan sebaya, pengalaman pernah menjadi mangsa atau usaha mendapatkan perhatian.

Justeru, usaha membanteras buli perlu melangkaui hukuman semata-mata. Pihak sekolah wajar menjalankan penilaian psikologi dengan bantuan kaunselor atau pakar bagi mengenal pasti pelajar yang menunjukkan tingkah laku agresif dan kurang empati. 

Mereka yang memerlukan bantuan pula perlu diberikan terapi tingkah laku serta sokongan psikologi yang bersesuaian.

Pada masa sama, pendidikan empati perlu diperkukuh melalui pembelajaran tentang pengurusan emosi, penyelesaian konflik dan sikap menghormati orang lain. Ibu bapa juga perlu diberi pendedahan untuk mengenali perubahan tingkah laku anak, manakala komuniti sekolah mesti bersama-sama membina persekitaran yang tegas menolak perbuatan buli.

Kesimpulannya, buli perlu ditangani melalui gabungan hukuman, intervensi psikologi dan pencegahan awal. Memahami punca tingkah laku pembuli penting bagi memastikan tindakan yang diambil berkesan dan masalah ini tidak terus berulang. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. MOHD. HANIP HASSAN

Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, 

Universiti Selangor (UNISEL)

 

The post Buli perlu intervensi psikologi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved