Bumbung Myvi berlubang dipercayai terkena bahan letupan

25 Feb 2023 • 8:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kereta Perodua Myvi milik mangsa mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dalam letupan di Padang Jawa ada 17 Februari lalu.

SHAH ALAM - Letupan yang berlaku hingga menyebabkan bumbung sebuah kereta Perodua Myvi berlubang di hadapan sebuah rumah di Padang Jawa, dekat sini, pada awal pagi,17 Februari lalu dipercayai berpunca daripada bahan letupan berasaskan belerang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian letupan pada jam 3.50 pagi itu berlaku ketika pemilik kereta berusia 35 tahun itu berada di ruang tamu rumah dan dimaklumkan oleh isterinya yang ternampak percikan api di atas kereta mangsa.

"Selang dua minit, mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang bungkusan keluar dari rumah untuk memeriksa keadaan di luar rumah yang dipenuhi asap dan kemudiannya terus menghubungi pihak polis," katanya, dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati Myvi berwarna kuning milik mangsa yang diparkir di hadapan rumahnya berlubang di bahagian bumbung dipercayai kesan gelombang letupan kerana kesan lekukan besi bumbung kereta yang masuk ke arah dalam.

"Pemeriksaan dalam kereta tersebut tidak menjumpai apa-apa senjata atau benda asing dan menurut saksi kejadian iaitu jiran mangsa telah mendengar satu bunyi letupan yang kuat sekitar jam 3.50 pagi," katanya.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama forensik Bukit Aman dari unit Pemusnah Bom mendapati pembuatan bahan letupan itu adalah dari individu yang mempunyai pengetahuan tentang bom manakala bahan letupan adalah dari jenis 'low explosive', iaitu serbuk belerang.

Mohd Iqbal berkata, teknik yang digunakan untuk menyebabkan letupan tersebut adalah teknik bakar kerana polis menjumpai sumbu dipercayai digunakan untuk memulakan letupan tersebut namun tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian.

Mohd Iqbal berkata setakat ini, seramai 10 saksi telah dirakam percakapan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, ASP Mohammad Khairi, di talian 012-2666025. - Bernama