
SHAH ALAM, 24 JUN: Kerja pembaikan bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raya, Hulu Langat yang rosak akibat ribut akan dimulakan hujung minggu ini menggunakan peruntukan kecemasan dianggarkan RM200,000.
Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abdul Aziz berkata pelaksanaan segera itu dibuat selepas Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat meluluskan penggunaan bajet kecemasan bagi memastikan keselamatan murid dan warga sekolah terus terjamin.
“Kerja pembaikan akan bermula pada Sabtu dan Ahad ini. Ia dijalankan pada hujung minggu bagi mengelakkan risiko kepada murid ketika sesi persekolahan berlangsung.
“Langkah ini penting bagi memastikan aspek keselamatan murid terjamin dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, kelewatan sebelum ini berpunca daripada prosedur pelaksanaan kerja di sekolah yang masih mempunyai kontraktor sedia ada di tapak projek ketika kejadian berlaku.
“Prosedurnya, jika terdapat kontraktor yang sedang melaksanakan kerja pembaikan di sekolah, kontraktor lain tidak boleh masuk sehingga kerja berkenaan selesai.
“Ketika kejadian berlaku, kontraktor sedang menjalankan kerja membaiki pintu dan tandas, jadi proses pembaikan bumbung terpaksa menunggu sehingga kerja tersebut selesai,” katanya.
Sebelum ini, isu kerosakan bumbung sekolah itu tular di media sosial selepas ia menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan murid dan guru, sekali gus mendorong tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan.
