Bung gesa Hajiji ambil tindakan terhadap Rubin 

Politics
12 Nov 2022 • 12:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah menggesa Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, mengambil tindakan tatatertib terhadap Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ia susulan penglibatan Rubin sebagai wakil rakyat mesra GRS, yang didakwa mendalangi pencalonan anaknya, Riduan Rubin, calon Bebas yang menjadi ahli Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) pada Jumaat.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tindakan itu bertentangan dengan perjanjian GRS-BN dan tidak menggambarkan semangat persahabatan antara kedua-dua gabungan itu.

Beliau berkata tindakan tatatertib perlu diambil terhadap pemimpin yang melanggar perjanjian termasuk menamatkan pelantikan sebagai pengerusi atau mana-mana jawatan dalam mana-mana agensi atau perbadanan berkaitan kerajaan (GLC).

“Pelanggaran perjanjian ini memberi tanggapan negatif terhadap kerjasama GRS-BN dan akan merosakkan sokongan kepada calon BN, Jamawi Jaafar di kerusi parlimen Tenom,” katanya.

Bung berkata demikian ketika berkempen di Taun Gusi di Parlimen Kota Belud pada Jumaat.

Jelasnya, tindakan tatatertib perlu diambil segera sebagai peringatan kepada semua ahli dan pemimpin GRS-BN agar tidak mengambil mudah kerjasama yang dimeterai kedua-dua pihak.

Kemasukan Riduan ke dalam KDM dipercayai untuk mendapat sokongan parti pimpinan Adun Melalap, Datuk Peter Anthony, yang juga Presiden PKDM, selepas pencalonan Peter untuk bertanding kerusi Tenom ditolak pada hari penamaan calon (5 November) yang mencetuskan rusuhan disusuli penahanannya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.