Bung ketuai BN Sabah hadapi PRN17

Politics
4 Apr 2024 • 3:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN Sabah tidak mungkin bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), tetapi akan mempertimbangkan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Beliau menganggap GRS, yang bekerjasama dengan BN Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-16 sehingga Januari tahun lalu, sebagai tidak berintegriti dan mengingkari perjanjian yang mereka ada.

Kecuali PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah), komponen BN Sabah yang lain terdiri daripada MIC dan MCA yang berpangkalan di semenanjung, termasuk Umno, yang Bung ketuai di Sabah. GRS terdiri daripada PGRS, PBS, Star, SAPP, LDP dan Usno yang kesemuanya berpangkalan di Sabah.

Mengenai kemungkinan BN Sabah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah, Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata mereka akan mempertimbangkannya.

SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more “Kita akan fikir, kita akan pertimbang. Umno Sabah akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai keikhlasan dan boleh memberi kekuatan kepada Umno,” katanya. Kerajaan GRS-PH Plus kini mentadbir Sabah.

Di sebalik khabar angin Umno Sabah berpuak-puak, Bung yang juga Adun Lamag berkata beliau akan mengetuai BN Sabah menghadapi PRN17.

“Saya tidak fikir ketua (BN Sabah) boleh berundur,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media dan asnaf (golongan kurang bernasib baik) di Hotel Promenade, Selasa.

Bung, yang merupakan Timbalan Ketua Menteri sehingga terpaksa berundur kerana cubaan rampasan kuasa yang gagal pada Januari tahun lalu, juga berkata BN Sabah akan membuat tawaran baharu kepada rakyat Sabah pada PRN17 yang boleh dipenuhi, tidak seperti parti lain yang nampaknya belum dipenuhi.

Beliau berkata Umno Sabah yang berhasrat untuk bertanding 23 kerusi, akan menampilkan beberapa muka baharu manakala Adun sedia ada yang tiada keikhlasan dan kesetiaan kepada parti akan digugurkan.

“Ada (muka baharu). Kami masih membuat saringan dan meminta mereka turun padang menemui seramai mungkin pengundi.

“Kita sedang mencari calon yang rakyat suka, boleh menang, berintegriti, tidak akan lompat parti dan tidak materialistik.

“Tidak ada jaminan calon tidak akan lompat parti tetapi kita akan ikat dia kuat-kuat.

“Kita akan cuci jiwanya. Tidak perlu tandatangan akuan bersumpah (SD), kerana nanti jadi seperti Dr Yusof Yacob yang membuat sumpah tetapi tidak tampil untuk mempertahankan Warisan dan tidak menghormati sumpahnya.

“Kami mahu orang tegar Umno, yang berjuang hidup dan mati untuk parti. Jika tiada keikhlasan dan tidak setia kepada parti, saya tidak lagi akan meletakkan mereka sebagai calon.”

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir Shahelmey Yahya, yang juga Adun Tanjung Keramat, merupakan salah seorang daripada empat Adun Umno yang bertindak menentang keputusan parti itu, untuk menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semasa cubaan rampasan kuasa Januari tahun lalu.

Sebab itu, Shahelmey berdepan tindakan tatatertib dalam bentuk penggantungan enam tahun manakala tiga lagi Adun Umno – Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) – yang turut dikenakan tindakan tatatertib, meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS atau Gagasan Rakyat) pimpinan Hajiji.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan terikat dengan Akta Anti Lompat Parti yang dikuatkuasakan di peringkat Persekutuan sejak Oktober 2022.

Sementara itu, Bung menyelar bekas Adun Petagas Datuk James Ligunjang kerana cuba mengaitkan Umno Sabah dengan stoking “kalimah Allah” dan isu serangan bom petrol KK Mart.

“Umno Sabah tidak terjejas dengan isu-isu ini. Tetapi saya melihat kenyataan Ligunjang mengaitkan isu KK Mart dengan Umno Sabah dan menggesa rakyat Sabah menolak Umno Sabah dalam pilihan raya akan datang.

“Saya juga ketawakan dia. Kenapa tiba-tiba selepas 25 tahun tidak muncul di khalayak ramai, dia tiba-tiba boleh komen begitu dan mengaitkan ini (isu-isu) dengan Umno Sabah, melabelkan kami sebagai ekstremis?

“Semua orang tahu Umno Sabah bukan ekstremis dalam soal agama dan bangsa. Macam saya, sebenarnya setiap hari saya bersama bukan Islam, kami makan bersama, bekerja sama. Setiap kali Umno Sabah turun padang, ramai orang bukan Islam mengikut saya. ..

Saya rasa dia (James) patut diam.

“Benda-benda itu berlaku di semenanjung, jangan bawa ke sini. Sabah aman, kita boleh bersama, tidak kira bangsa dan agama.

“Isu itu tiada kena mengena dengan Umno Sabah, jadi jangan dengar cakap dia,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.