
KUALA LUMPUR - Jenazah figura politik terkenal Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Likas, di Kota Kinabalu jam 2.25 petang tadi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman peribadinya di Luyang, bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan sahabat handai hadir memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk dimandi dan dikafankan pada jam 10 pagi.
Solat jenazah yang dilaksanakan selepas solat Jumaat menyaksikan kehadiran ribuan jemaah termasuk pemimpin BN pusat.
Antara yang hadir termasuk Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menunaikan solat jenazah.
Bernama melaporkan, solat jenazah itu diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Suhaidi Kuanting
Turut serta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab.
Hadir sama beberapa menteri Kabinet Sabah yang lain, pemimpin BN Sabah, ahli keluarga, waris dan kenalan Allahyarham.
Selesai solat jenazah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN bersama pemimpin tertinggi BN lain memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama pemimpin negeri turut hadiri memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Allahyarham Bung pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan pada 1999 dan mengekalkan kerusi tersebut sehingga akhir hayat.
Beliau turut berkhidmat sebagai ADUN Lamag sejak 2020.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 baru-baru ini, beliau mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 153 undi dalam pertandingan enam penjuru. - Getaran, 5 Disember 2025

