Bung sahkan perbincangan awal kerjasama BN-PH sudah bermula

LocalPolitics
26 Apr 2025 • 4:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) mengesahkan perbincangan awal kerjasama antara Umno-BN dan Pakatan Harapan (PH) telah pun bermula secara dalaman, meskipun belum diumumkan secara rasmi.

Menurut beliau, tawaran kerjasama itu telah mendapat maklum balas yang positif daripada kedua-dua parti, dan perbincangan sedang berlangsung melibatkan aspek teknikal bagi menyesuaikan pendekatan antara mereka.

“Saya yakin dan percaya matlamat kita adalah untuk memastikan kerajaan perpaduan di seluruh negara ini terus terjamin dan tidak diganggu-gugat,” katanya.

Bung Moktar turut mencadangkan agar kedua-dua parti utama ini bergabung dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, bagi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri DrAhmad Zahid Hamidi turut bersikap positif terhadap kerjasama tersebut dan akan membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai status Datuk Shahelmey Yahya, Bung Moktar menjelaskan keahlian beliau telah digantung selama enam tahun berikutan ketidaksetiaan terhadap parti, selaras dengan keputusan mesyuarat parti tahun lalu.

“Status beliau sudah jelas. Mana-mana ahli atau pemimpin yang ingkar dengan keputusan parti akan dikenakan tindakan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Umno,” tegasnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa Umno tidak memerlukan calon yang hanya mengejar kepentingan peribadi tanpa keikhlasan dalam perjuangan parti.

Bung ditemui media ketika menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Penyelaras BN Sekong, Mohd Zharif Aizat Datuk Samsudin di Sri Taman pada Jumaat.